Sabtu, 16 Februari 2013

Petua Mendapatkan 9A dalam SPM

Petua 1: Lupakan masa silam yang kelam
Mungkin keputusan UPSR dan PMR anda tidak membanggakan tetapi itu tak bermakna keputusan SPM juga tidak cemerlang. Sebelum anda boleh mencipta masa depan yang lebih baik, anda harus melupakan peristiwa malang anda di masa lalu.


Petua 2: Ingatkan kejayaan
Tidak kira siapa anda, anda pernah berjaya di dalam sesuatu hal pada suatu ketika dahulu. Mungkin anda pernah mendapat markah yang tinggi dalam ujian bulanan atau mendapat pingat dalam sukan. Gunakan kenangan kejayaan anda untuk memotivasikan diri anda bahawa anda sebenarnya boleh mencapai matlamat anda.


Petua 3: Menyedari segalanya berkemungkinan
Tiada yang mustahil, segalanya boleh berlaku. Impian yang tersemat di dalam hati anda, jika dipindahkan ke dalam minda dan diusahakan pasti boleh dicapai. Terimalah kenyataan bahawa anda sebenarnya boleh mencipta kehidupan yang lebih baik. Tiada orang di dahinya ditulis GAGAL atau BODOH. Kita yang mencorakkan kehidupan kita.


Petua 4: Impian yang besar
Agar impian dan keinginan anda dapat memberi inspirasi kepada anda untuk bertindak dan mencapai matlamat, maka impian dan keinginan perlu menjadi besar. Impikan untuk dapat semua A dalam peperiksaan dan yakinlah anda boleh mendapatkannya.


Petua 5: Bertindaklah untuk berubah
Perubahan tidak akan berlaku jika hanya sekadar berfikir - anda harus mengambil tindakan!. Dunia khayalan tidak membawa anda ke mana-mana, tetapi hanya mereka yang bertindak atas keinginan mereka akan benar-benar mencapai impian mereka. Jika impian anda untuk mendapat semua A, anda harus berusaha mencapainya.

Petua 6: Lakukannya setiap hari
Luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap malam untuk menilai pencapaian anda pada hari tersebut dan merancang untuk hari berikutnya. Tanya pada diri anda, apakah yang telah anda lakukan untuk mencapai impian anda pada hari ini. Tanya pada diri anda apa yang perlu dibaiki agar impian akan menjadi kenyataan.


Petua 7: Betulkan yang biasa, biasakan yang betul
Tabiat yang negatif boleh mengganggu usaha untuk mencapai impian anda. Untuk memastikan hal ini tidak terjadi pada anda, lakukan setidaknya satu langkah baru dalam rutin harian anda untuk memperbaiki tabiat tersebut. Tinggalkan kebiasaan yang negatif seperti bangun lewat, bersembang semsa guru mengajar, meniru homework, bermain facebook dan mainan komputer dan ber’sms’ perkara yang tidak penting.


Petua 8: Dapatkan bantuan dan sokongan
Mencapai sesuatu impian memerlukan bantuan dan sokongan daripada pelbagai sumber. Jika anda tidak memahami sesuatu subtopik, tanyalah pada guru. Belajarlah secara berkumpulan dan selalulah meminta nasihat dan sokongan daripada ibu bapa jika menghadapi masalah.

Petua 9: Teruja menanti hasilnya
Bayangnya anda memperoleh semua A dalam peperiksaan. Bayangkan anda menjadi mahasiswa di universiti. Bayangkan anda menerima anugerah atas kejayaan anda. Anda pasti teruja kerana anda sedang dalam perjalanan untuk mendapatkan segala sesuatu yang anda inginkan!


Petua 10: Tingkatkan ‘standard’
Tiba masa untuk meningkatkan ‘standard’ anda. Inilah masa untuk mengharapkan sesuatu yang terbaik pada diri anda berbanding dengan orang lain. Jangan menerima kecuali yang terbaik sahaja dalam segala hal yang anda lakukan dan anda tidak akan menghadapi masalah membina kehidupan impian anda.