Selasa, 26 Mac 2013

Lima Panduan Makan Secara Sihat

Berikut adalah Lima Panduan Makan Secara Sihat yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.


1) Makan Secara Teratur
Melangkaui (skipping) sesuatu masa makan boleh membawa kepada kelaparan yang tidak terkawal, selalunya menyebabkan kita makan berlebihan. Amalan yang baik ialah mengambil sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Jika anda mengambil bahagian (portion) makanan yang munasabah, tidak ada masalah bagi anda memakan makanan kegemaran anda dan mengekalkan berat badan yang sihat.


2) Minum 6-8 gelas air kosong sehari.
Sekiranya anda gemar mengambil minuman manis, apa kata mulakan tahun baru anda dengan mengubah amalan tersebut. Pengambilan minuman manis boleh menyumbang kepada kalori yang berlebihan yang mudah menyebabkan kegemukan. Percayalah, satu gelas air kosong mengandungi 0 kalori berbanding teh tarik yang mengandungi 128 kalori. Mudah bukan untuk kurangkan kalori !


3) Hadkan pengambilan makanan yang berlemak, bersantan dan bergoreng.
Makanan yang berlemak, bersantan dan bergoreng adalah tinggi kandungan kalori. Terlalu banyak atau kerap mengambil makanan ini boleh menyebabkan kegemukan terutama bagi mereka yang kurang aktif. Ubahlah tabiat anda dengan mengambil makanan yang dikukus, direbus, dibakar atau dipanggang. Jumlah kalori dapat dikurangkan sekiranya anda mengurangkan kekerapan mengambil makanan yang berlemak, bersantan dan bergoreng.


4) Amalkan pengambilan buah dan sayur setiap hari
Buah dan sayur adalah penting dalam diet harian. Ia merupakan sumber utama vitamin, mineral, serat dan lain-lain bahan yang penting untuk kesihatan. Kebanyakan orang tidak mengambil buah dan sayur dalam jumlah yang disarankan. Pengambilan pelbagai jenis buah dan sayur mengikut saranan boleh melindungi anda daripada penyakit-penyakit kronik. Ia juga membantu melawaskan saluran najis. Selain daripada itu,buah dan sayur juga mengenyangkan. Ini akan mengurangkan anda mengambil makanan yang lain. Dan yang lebih penting, buah dan sayur adalah rendah kandungan kalori. Ambillah sekurang-kurangnya 5 sajian buah dan sayur setiap hari.


5) Snek yang sihat
Kebanyakan orang tidak menyedari, pengambilan kalori yang berlebihan boleh disebabkan oleh makanan yang tidak mengenyangkan yang dijadikan snek seperti keropok, kerepek, kacang masin, gula-gula, dan biskut lemak atau berkrim. Makanan ini kebanyakkannya tinggi kalori, lemak dan gula. Sekiranya anda sukakan snek, pilihlah snek yang sihat dan rendah kalori seperti buah-buahan, sandwic, jagung rebus, kacang rebus atau panggang dan yogurt rendah lemak dan gula.


Ingat, perubahan dalam amalan diet anda tidak perlu terlalu drastik sehingga anda merasa tertekan untuk melakukannya. Buatlah perubahan secara perlahan-lahan. Perubahan yang kecil dan berkesan adalah lebih baik daripada matlamat yang besar tetapi tidak mampu dicapai.



Artikel oleh:
Bahagian Pemakanan,
Jabatan Kesihatan Awam
Kementerian Kesihatan Malaysia


Photobucket