Isnin, 23 September 2013

Bahaya Dadah Balt Salt: Manusia Menjadi Zombie



KUALA LUMPUR 22 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau rapi kemasukan dadah ke negara ini termasuk dadah terbaharu dikenali sebagai Bath Salts (Garam Mandi) yang dikategorikan sebagai dadah paling bahaya di Amerika Syarikat, Britian dan Eropah kerana boleh merangsang penagih menjadi zombie.

Dadah sintetik dinamakan sempena garam yang digunakan dalam mandian itu bertindak merangsang otak ke tahap tertinggi dan meningkatkan suhu badan kepada 41.6 darjah selsius (107 Fahrenheit).

Keadaan itu menjadi punca halusinasi dan perlakuan ganas yang ekstrem menyebabkan penagih yang mengambil dadah ini hilang pertimbangan sehingga sanggup membunuh dan memakan daging manusia atau menyakiti mangsa sampai mati.

Timbalan Pengarah III (Perlucuthakan Harta/Tahanan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Jamaludin Kudin berkata, beban dihadapi oleh PDRM dalam menangani masalah dadah kini berganda apabila terpaksa berhadapan dengan ancaman dadah tradisional dan moden.

Beliau berkata, dadah terdapat dalam pasaran di negara ini terdiri daripada dadah tradisional seperti heroin dan ganja serta dadah moden jenis sintetik seperti pil psikotropik dan Eramin 5.

“Bagaimanapun di Amerika Syarikat, Britian dan Eropah sudah wujud kebimbangan penularan penggunaan dadah baharu dikenali sebagai Bath Salts yang dikatakan cukup bahaya kerana penagih boleh bertukar ganas sehingga sanggup memakan manusia.

“Perkara ini pernah dibincangkan dalam persidangan antarabangsa mengenai dadah yang dihadiri oleh saya di Vienna, Austria pada Mac lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Setakat ini menurut Jamaludin, PDRM belum mengesan penagih tempatan mengambil Bath Salts tetapi pihaknya sentiasa membuat pemantauan bagi mengelak dadah itu diseludup masuk dan menular penggunaannya di negara ini.

Beliau berkata, penggunaan apa sahaja jenis dadah terutama Bath Salts harus disekat kerana bahan haram itu memudaratkan masyarakat terutama generasi muda.

Katanya, keadaan membimbangkan kerana dadah sintetik yang suatu ketika dahulu dikategorikan hanya mampu ambil oleh golongan elit, sekarang mampu dibeli oleh semua penagih.

Sementara itu, pencarian maklumat di internet mendapati Bath Salts yang dihasilkan dengan kombinasi beberapa bahan kimia seperti ‘amphetamine’ terutama ‘mephedrone’, ‘MDPV’ dan ‘methylone’ mula diperkenalkan pada 2009 dan terus menular penggunaannya di Britian, Amerika Syarikat dan Eropah sehingga sekarang.

Siasatan akhbar tabloid The Sun di United Kingdom mendapati, dadah yang boleh dibeli melalui internet itu berjaya mempengaruhi penggunanya supaya memakan daging manusia.

Laporan akhbar itu menyatakan, bilangan panggilan ke Pusat Kawalan Racun Amerika Syarikat membabitkan kes dadah itu meningkat kepada 6,138 pada 2011 berbanding hanya 304 kes pada tahun sebelumnya menyebabkan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Britian berusaha memberhentikan jualannya.

Kes pertama membabitkan penagih Bath Salts ialah seorang remaja Scotland, Alex Herriet, 19, yang maut selepas membeli dadah jenis itu dengan harga bersamaan RM50, manakala seorang lagi remaja perempuan, Katie Wilson, 19, bertindak membogelkan dirinya di Pasar Raya Tesco di United Kingdom sejurus selepas mengambil dadah itu.

Insiden paling sadis adalah serangan terhadap seorang lelaki gelandangan, Ronald Poppo, 65, yang kehilangan hampir suku wajahnya kerana dimakan penyerang berbogel, Rudy Eugene, 33, yang mengambil dadah itu di Miami, Amerika Syarikat pada 29 Mei tahun lalu.

Polis terpaksa menembak mati Eugene di sebuah lebuh raya selepas dia tidak mengendahkan arahan anggota polis supaya berhenti menggigit wajah Poppo sebaliknya mendengus seperti haiwan liar dan akibat kejadian itu, Poppo menjadi separuh buta.

Seorang doktor yang berpengalaman selama lebih 30 tahun di bahagian kecemasan, Dr. James Wright memberitahu, Bath Salts adalah satu daripada 10 jenis dadah paling bahaya di dunia kerana pengambilan yang berlarutan selama beberapa jam akan mengakibatkan pengguna menjadi gila dengan 85 peratus akan pulih dalam tempoh 30 hari manakala 15 peratus lagi kekal gila sampai mati.


Sumber: Utusan Malaysia Online

Photobucket