Selasa, 3 Disember 2013

DASAR PENGAMBILAN PELAJAR KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM(IPTA)

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) amat prihatin dengan masalah pelajar yang
mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PGNK) 4.0 tetapi gagal untuk mendapat
tawaran di mana-mana institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

 Oleh itu, kesemua 39 pelajar yang mendapat PGNK 4.0 akan diberi keutamaan
memasuki IPTA jika ada kekosongan, selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.
KPM berharap pelajar-pelajar tersebut dapat membuat rayuan untuk memasuki IPTA
dengan kadar segera.

KPM juga ingin merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda MCA dan mantan Timbalan
Menteri Pelajaran, Datuk WeeKa Siong yang mendakwa hanya 19 peratus permohonan
pelajar Cina yang mendapat tawaran ke IPTA sedangkan kebanyakan pelajar Cina
yang mencatatkan PNGK 4.0 gagal untuk mendapat tempat di IPTA.

Terdapat juga dakwaan sistem kuota yang diperkenalkan pada tahun 2002 itu adalah
satu bentuk sistem kuota yang lebih buruk dan telah membawa kepada kemerosotan
kadar kemasukan pelajar Cina ke dalam lapan bidang kompetitif di universiti-universiti
awam, iaitu dari 30 peratus sewaktu sistem kuota baharu dihapuskan kepada 19
peratus sekarang, selain kemerosotan kadar kemasukan pelajar bukan Melayu secara
umum.

KPM ingin menjelaskan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali. Bagi Sesi
Akademik 2013/2014, seramai 3,584 orang pelajar telah mendapat PNGK 4.0. Daripada
jumlah ini, seramai 1,673 (47%) adalah pelajar Bumiputera, 1,275 (35%) Cina,
361(10%) India dan lain-lain kaum adalah seramai 275 (7%) orang. Daripada jumlah
tersebut 3,545 orang pelajar telah ditawarkan tempat ke IPTA.

Ini jelas menunjukkan 99 peratus pelajar yang mendapat PNGK 4.0 telah mendapat
tawaran tempat di IPTA dan hanya 39 orang pelajar atau 1 peratus pelajar sahaja yang
tidak mendapat tawaran ke IPTA. Kegagalan 39 pelajar ini untuk mendapat tempat di
IPTA adalah kerana faktor-faktor yang berikut:
  1. Pelajar tidak memenuhi syarat khas program pengajian;
  2. Unjuran tempat telah penuh, terutamanya program pengajian perubatan, pergigian dan farmasi;
  3. Pelajar membuat pernyataan "tidak setuju" sekiranya ditawarkan program pengajian selain daripada yang dipohon;
  4. Pelajar gagal dalam saringan temu duga; dan
  5. Pelajar berada pada merit yang rendah kerana markah kokurikulum yang rendah.
KPM ingin menjelaskan kriteria pemilihan calon untuk ditawarkan tempat adalah seperti
berikut:
  1. Pencapaian akademik dalam peperiksaan STPM/Setaraf;
  2. Pencapaian dalam aktiviti kokurikulum;
  3. Kombinasi mata pelajaran yang dimiliki bersesuaian dengan program pengajian yang dipohon;
  4. Gred mata pelajaran untuk tujuan pengkhususan;
  5. Lulus temu duga/ujian kelayakan bagi program pengajian tertentu;
  6. Pilihan program pengajian mengikut keutamaan;
  7. Mendapat sekurang-kurangnya Tahap 1 (Band1) dalam peperiksaan MalaysianUniversityEnglishTest (MUET); dan
  8. Bilangan tempat yang disediakan oleh IPTA mengikut program pengajian.
Pada tahun 2002, dasar pengambilan pelajar ke IPTA telah dilaksanakan berasaskan
prinsip meritokrasi bagi menggantikan Dasar Pengambilan Mengikut Kuota Kaum yang
diguna pakai sebelumnya. Dasar meritokrasi ini dilaksanakan dengan mengguna pakai
90% markah akademik dan 10% markah ko-kurikulum untuk menjana markah merit
calon.

Sehubungan dengan itu, penetapan merit tidak hanya melihat kepada pencapaian
akademik semata-mata. Penentuan dibuat dengan mengambil kira kedua-dua elemen
akademik dan kokurikulum calon untuk memastikan IPTA melahirkan graduan yang
holistik.

Sistem meritokrasi yang digunakan untuk pemilihan pelajar ke universiti adalah telus
dan dibuat secara profesional. Berdasarkan prinsip meritokrasi, semua calon yang
layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, bangsa, keturunan,
negeri, taraf hidup dan tempat tinggal tidak akan dinafikan peluang untuk mengikuti
pengajian di IPTA.

Calon-calon yang layak dan memenuhi Syarat Am Universiti, Syarat Khas Program
Pengajian serta kriteria pemilihan yang telah ditetapkan akan dipertimbangkan
mengikut pilihan program pengajian yang dipohon mengikut kelayakan, minat, cita-cita
dan kecenderungan calon.

Oleh itu, jika merit calon tidak begitu tinggi tetapi calon masih memohon program
pengajian kompetitif seperti perubatan, pergigian, farmasi, undang-undang,
kejuruteraan kimia, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrikdan elektronik dan
perakaunan, dan jika calon hanya memohon di IPTA yang popular, maka calon akan
menghadapi persaingan yang sangat sengit dan berkemungkinan akhirnya tidak
mendapat apa-apa tawaran daripada IPTA berkenaan.

Program pengajian pergigian contohnya, hanya menawarkan 119 tempat di tiga IPTA,
tetapi pelajar yang memohon adalah seramai 1,299 orang. Ini menunjukkan lebihan
permohonan sebanyak 10 kali ganda pada program pengajian ini.

Mulai Sesi Akademik 2009/2010, selaras dengan pelaksanaan dasar autonomi kerajaan
kepada Universiti Sains Malaysia (USM) dan status U-APEX, pengurusan permohonan,
pemprosesan, pemilihan, hebahan dan rayuan ke USM dikendalikan sepenuhnya oleh
USM sendiri. Walau bagaimanapun, penyelarasan tawaran dilaksanakan oleh Bahagian
Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (BPKP JPT) dengan USM
bagi calon yang setuju terima atau menolak tawaran.

Mulai Sesi Akademik 2012/2013, semua IPTA berstatus Universiti Penyelidikan (RU),
iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra
Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia
(USM) diberi autonomi dalam pengurusan kemasukan pelajar ke IPTA berkenaan.
Calon diberi peluang memilih program pengajian di RU dan; atau 15 IPTA lain mengikut
minat, cita-cita dan kecenderungan calon.

Isu berkaitan tawaran berganda (doubleoffer) berlaku hanya di antara USM dengan RU
dan USM dengan IPTA lain. Bagi program pengajian perubatan, pergigian dan farmasi,
sekiranya calon ditawarkan tempat pengajian di USM, RU yang lain tidak boleh
menawarkan tempat kepada calon berkenaan.

Bagi program pengajian kompetitif yang lain seperti undang-undang, kejuruteraan
kimia, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan elektrik dan elektronik dan perakaunan,
USM dan RU yang lain boleh memberikan tawaran berganda kepada calon yang sama
dan calon boleh membuat pilihan yang sewajarnya untuk menerima sama ada tawaran
dari USM atau RU yang lain. USM dan IPTA yang lain boleh membuat tawaran
berganda bagi program pengajian yang bukan kompetitif.

Proses temu duga juga dilaksanakan di IPTA bagi sesetengah program pengajian yang
memerlukan kompetensi tertentu dan bagi memastikan mereka mendapat calon yang
benar-benar berkelayakan dan memenuhi kehendak dan keperluan program pengajian
berkaitan.

Sesetengah program pengajian bertemu duga mendapati calon gagal memenuhi kriteria
yang ditetapkan untuk mengikuti program pengajian berkaitan. Sekiranya calon gagal
dalam temu duga berkenaan, mereka masih boleh dipertimbangkan untuk mengikuti
program pengajian lain dalam pilihan mereka atau sekiranya mereka setuju untuk
menerima tawaran selain daripada program pengajian yang dipohon,KPM akan cuba
memastikan pelajar ditawarkan tempat berdasarkan kelayakan dan kekosongan tempat
di IPTA.


Kenyataan Akhbar Kementerian Pendidikan Malaysia
Ogos 2013
copy paste dari: http://upu.mohe.gov.my/