Rabu, 4 Disember 2013

PBSMR: Pelaksanaan Pentaksiran Pusat

http://cikguzamrud.com

Tahukah anda tahun 2013 merupakan tahun terakhir bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR)? Mulai tahun 2014, PMR akan digantikan dengan pentaksiran yang lebih holistik dan tidak berasaskan peperiksaan semata-mata. Pentaksiran ini dinamakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR). Dalam PBSMR, tiada peperiksaan pusat seperti PMR. Semua pentaksiran berasaskan sekolah. Hal ini bermaksud, guru sekolah yang akan mentaksir, menyemak dan melaporkan keputusan seseorang murid kepada Lembaga Peperiksaan. Berdasarkan laporan guru tersebut, Lembaga Peperiksaan akan mengeluarkan Slip Pelaporan PBSMR. Slip Pelaporan itu akan digunakan untuk menentukan aliran murid ditingkatan 4.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah (PBSMR)


PBSMR mentaksir akademik dan bukan akademik seseorang murid bermula daripada tingkatan 1 hingga ke tingkatan 3.  Untuk pengetahuan anda, setiap murid hanya dibenarkan mengambil mininum 12 subjek dan maksimum 13 subjek dalam PBSMR.

Terdapat dua jenis pentaksiran akademik iaitu pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat. Pentaksiran bukan akademik juga mempunyai dua jenis iaitu Pentaksiran Psikometrik dan PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum). Menerusi entri ini, saya ingin memberi pencerahan tentang pentaksiran pusat bagi akademik sahaja.

Pentaksiran pusat 

Pentaksiran pusat adalah pentaksiran yang dirancang, dibina dan dilapor oleh Lembaga Peperiksaan tetapi ditadbir, diperiksa dan direkod oleh sekolah. Pentaksiran Pusat dilaksana dalam bentuk pentaksiran sumatif semasa murid di tingkatan 3. Saya harap anda tidak menyamakan Pentaksiran Pusat dengan Peperiksaan Pusat kerana ia sangat-sangat berbeza. Dalam PBSMR tiada Peperiksaan Pusat tetapi dalam PBS Sekolah Rendah ada Peperiksaan Pusat.

Terdapat beberapa sebab Pentaksiran Pusat dijalankan untuk mentaksir akademik murid dalam PBSMR. Justifikasinya adalah seperti berikut:
  1. Melihat penguasaan dan keupayaan intelek murid dalam situasi sebenar (Pentaksiran Autentik)
  2. Pelengkap kepada Pentaksiran Sekolah
  3. Mengukur konstruk yang sama dan selaras pada setiap murid diseluruh Malaysia
  4. Merangkumi pembelajaran Tingkatan 1, 2 & 3 (Pentaksiran Sumatif)
  5. Mengukur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)
Pentaksiran Pusat dilaksanakan berdasarkan mata pelajaran, kaedah pentaksiran dan jenis instrumen. Terdapat tiga jenis instrumen dalam Pentaksiran Pusat iaitu:
  1. Ujian bertulis dan ujian lisan: BAHASA MELAYU, BAHASA INGGERIS, BAHASA CINA, BAHASA TAMIL, BAHASA ARAB, BAHASA IBAN dan BAHASA KADAZAN DUSUN.
  2. Ujian bertulis: SAINS dan MATEMATIK
  3. Pelbagai instrumen:  PENDIDIKAN ISLAM, PENDIDIKAN MORAL, SEJARAH, GEOGRAFI KEMAHIRAN HIDUP BERSEPADU, PENDIDIKAN MUZIK, PENDIDIKAN SENI VISUAL PENDIDIKAN JASMANI DAN KESIHATAN dan PENDIDIKAN SIVIK DAN KEWARGANEGARAAN (kerja amali, projek, persembahan, demonstrasi, kajian lapangan dan kajian kes)








Dalam Pentaksiran Pusat(PP), guru menerima arahan tugasan daripada Lembaga Peperiksaan(LP) dan menyediakan bahan mengikut garis panduan yang disediakan. Murid melaksanakan tugasan berdasarkan jadual pelaksanaan PP yang ditetapkan oleh LP. Guru mentaksir pencapaian murid berdasarkan peraturan penskoran yang dibekalkan oleh LP. Guru merekod prestasi murid dan menghantar skor ke LP.

LP akan mengumpul skor mentah daripada pihak sekolah dan akan melaksanakan proses penentuan standard bagi menentukan gred pencapaian murid dalam sesuatu mata pelajaran.