Sabtu, 8 Februari 2014

LazyMath Bantu Murid Kuasai Matematik


Georgetown: Penemuan terbaru cara mengajar subjek Matematik LazyMath oleh penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka mampu melahirkan generasi celik nombor di negara ini.

Siri ujian yang dijalankan mendapati kaedah pengajaran itu berupaya merangsang penggunaan otak kiri manusia yang dalam pembelajaran berkaitan nombor.

Tingkat otak kanan
Pada masa sama, kaedah itu juga dapat meningkatkan keupayaan otak sebelah kanan, supaya pelajar dapat menjadi lebih kreatif dan berfikiran logik bagi menyelesaikan permasalahan.

Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM, Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed, berkata LazyMath mula digunakan program Advance Guidance Education System (AGES) di bawah seliaan Unit Penyelidikan Pendidikan Asas (UPPA).

“Kaedah pembelajaran dan pengajaran ini diuji sejak September tahun lalu dan terbukti berkesan apabila diterapkan ke atas kanak-kanak seawal usia tiga tahun dan mampu membuang mitos subjek Matematik adalah rumit.

“Ia menggalakkan pelajar menggabungkan pemikiran logik dan kreatif, merangkumi penguasaan kognitif, visual dan kinestatik minda yang mana dapat membantu pelajar mahir dalam subjek lain,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, usaha membangunkan LazyMath dilaksanakan pihaknya menerusi geran penyelidikan USM apabila melihat kurang 30 peratus pelajar negara ini memilih aliran sains selepas Tingkatan Tiga.

Katanya, penyelidikan mendapati kebanyakan pelajar menganggap subjek Matematik sebagai beban berbanding subjek lain.

“Pemikiran itu menyebabkan pelajar tertekan seterusnya menganggap subjek Matematik sebagai rumit. Justeru, LazyMath menolak persepsi Matematik sukar dikuasai dengan menyediakan konsep pembelajaran santai,” katanya.

Abdul Rashid berkata, 30 hingga 50 tenaga pengajar terdiri siswazah PPIP USM dilatih terbabit dalam program AGES yang kini disertai 200 pelajar dari seluruh Pulau Pinang.

Beliau berkata, mereka mengalu-alukan pelajar baru menyertai program AGES yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad itu. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi UPPA menerusi talian 04-658 5414 atau layari uppa.usm.my



Sumber: BH Online