Sabtu, 15 Februari 2014

Pengalaman Hari Pertama Menjadi Guru, A Flashback

6 tahun yang lalu, pada tanggal 1 November 2007 adalah hari pertama saya sebagai seorang guru. Saya posting di Kuala Kangsar, kampung saya sendiri. Sekolah tempat saya posting pun, bukanlah sekolah yang asing bagi saya. Bapa saya bekas guru di sini. Jadi, saya selalu 'lepak' di sini menunggu bapa selesai kerjanya atau habis mesyuarat. Majoriti guru di sekolah ini dah pun kenal saya sebagai anak kenalan mereka. Cuma saya yang terasa asing, sebab mereka kenal saya, tapi saya tak kenal mereka.


Pengalaman hari pertama dan kedua saya posting, saya abadikan dalam blog saya yang lama. Blog tuu saya dah private-kan. Syukur sangat sebab saya ada blog, dan tulis pengalaman di dalam blog. Senang nak imbas kembali kenangan-kenangan lalu. :)




Semalam adalah hari pertama saya sebagai seorang guru. Saya lapor diri di PPD Kuala Kangsar, seterusnya mendengar Taklimat Penempatan Guru Siswazah Sandaran Terlatih, GSST  yang disampaikan oleh Tuan PPD dan Tuan Timbalan PPD. Taklimat bermula jam 9.00 pagi dan tamat jam 10.45 pagi. Terdapat 36 orang GSST yang seangkatan dengan saya. Setelah tamat taklimat, kami diarahkan ke sekolah masing-masing untuk lapor diri sebelum jam 1.00 petang.

Saya telah melapor diri di sekolah SMK Clifford Kuala Kangsar bersama seorang lagi GSST baru yang juga berasal dari negeri Perak. Malah, beliau mempunyai option yang sama seperti saya iaitu Kimia/Biologi. Oleh sebab kami ditempatkan pada hujung tahun, kami tidak diberikan sebarang kelas untuk mengajar. Kami hanya perlu mengikuti rancangan orientasi guru baru dan menjadi guru ganti bagi kelas yang ketiadaan guru. Jadi kebanyakkan masa kami hanyalah di bilik guru.

Sepanjang di bilik guru, kami berkenalan dengan guru-guru senior dan mengisi borang-borang yang diperoleh daripada pihak sekolah, JPN dan KPM. Kami perlu menghantar kembali borang yang telah siap diisi seberapa segera untuk diproses. Hanya setelah borang itu dikembalikan, kami akan memperoleh surat tawaran berkhidmat. Kelewatan menerima surat tawaran berkhidmat akan menyebabkan kelewatan pembayaran gaji.

Bersama borang itu, kami perlu melampirkan beberapa dokumen seperti surat akuan sumpah, laporan kesihatan dan sijil-sijil akademik. Kami juga perlu mempunyai nombor akuan KWSP untuk melengkapkan salah satu borang yang diberikan. Oleh itu, petang tadi, saya bersama dua coursemates USM telah membuat surat akuan sumpah bebas dadah dan surat akuan sumpah bebas jenayah di Pejabat Daerah Kuala Kangsar. Kemudian kami telah pergi ke Pejabat KWSP untuk mendaftar sebagai pencarum. Kami juga membuat beberapa salinan sijil akademik untuk dilampiran bersama borang-borang itu.

Saya harap, cepat dapat kembalikan borang-borang itu, cepat dapat surat tawaran berkhimat dan yang pentng sekali, cepat dapat gaji.