Rabu, 7 Mei 2014

Pengalaman Dua Bulan Pertama Di Sarawak



Sabtu lalu, kakak saudara saya kahwin. Jadi, berkumpul sanak saudara di rumah mak saudara. Masing-masing tanya soalan cepu emas kepada saya.

Seronok ke duduk di Sarawak?

Kalau Sarawak tu dekat, dan saya boleh balik kampung selang seminggu dengan hanya memandu kereta, tentu saya jawab best. Tapi Sarawak tu jauh. Kalau saya departure/boarding di KLIA2 atau di Airport Penang tetap jauh dengan dengan kampung saya. Kena minta mak dan bapak tolong ambil di airport. Nak naik bus tak reti lagi. Saya tak tengok lagi schedule bus. Yang pasti, tak ada bus terus ke Kuala Kangsar. Cuma ada Penang-Kemunting dan KLIA-Ipoh.

Sarawak Dishes

Makanan di Sarawak manis berbanding di Semenanjung. Kalau nak di bandingkan kemanisan masakan Kelantan dan kemanisan masakan Sarawak, saya suka lagi masakan Kelantan. Dua tiga minggu pertama di Kuching, memang saya tak boleh nak terima masakan restoran-restoran di sini, tapi bila dah dua bulan, saya mulai biasa dengan masakan mereka. Makanan tradisi/tempatan Sarawak, seperti ayam pansuh, umai, paku-pakis (lupa nama masakkannya) memang sedap. Tapi yang paling saya suka, ayam pansuh la.

Perpaduan 1Malaysia

Orang Sarawak memang mesra. Di sini memang nampak dengan jelas perpaduan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum. Kadang-kadang sukar saya nak bezakan antara iban, bidayuh, cina dan melayu. Nampak sama je. Lagipun orang-orang di sini putih-putih. Saya ingatkan cina, rupanya Melayu.

Ikan dan sumber laut

Saya tak pernah nampak obor-obor dijual di pasar semenanjung. Tapi di sini senang je nak dapat obor-obor ni. Ikan, udang dan sotong segar dan lebih murah berbanding semenanjung. Tapi di sini tak ada ikan keli. Ikan lumek banyak. Ikan lumek ini rasanya boleh dapat di Sarawak je. Gigi ikan ni tajam macam ikan jerung, tapi tulangnya lembut macam ikan sardin dalam tin.


Bandar Roundabout

Jalan-jalan di Kuching dan sekitarnya kurang traffic light tapi banyak bulatan. Setiap bulatan sangat besar, lebih kurang satu padang futsal. Tapi cara orang sini ambil pusingan semasa melalui bulatan pelik sikit, macam main redah je. Mereka jarang menggunakan signal. Saya bayangkan, kalau di Penang dah lama kena hon, tapi pemandu di sini jarang menggunakan hon. Mereka amat bertolak ansur semasa memandu.


Kos Hidup

Semua orang tahu, harga barang di Malaysia Timur memang lebih mahal berbanding Malaysia Barat. Jadi saya simpulkan kos hidup di sini lebih tinggi berbanding di Semenanjung. Saya beli tong gas dan gas Shell untuk memasak dengan harga RM200.00. Tak munasabah langsung. Lagipun bukan saya yang beli sendiri, saya minta orang Iban setempat kerja tolong belikan. Paling saya pelik, di Kuching ni, pengedar gas Petronas tak nak jual tong gas kepada saya. Dua tiga pengedar saya tanya, semua cakap mereka tak ada tong gas, hanya boleh refill sahaja. Pelik kan. Kalau di Kuala Kangsar, bersepah-sepah tempat jual tong gas, terutamanya gas Petronas.