Ahad, 28 September 2014

Enam Bulan Telah Berlalu : Bahagian 1

Enam bulan yang lalu saya masih lagi SMK Clifford Kuala Kangsar, menjalani rutin sebagai seorang guru. SMK Clifford sekolah pertama saya mengajar sebagai guru, mungkin juga sekolah terakhir. Sekolah ini sekolah pekan, sekolah ini sekolah primer. Sekolah ini salah satu land mark Kuala Kangsar.


Di sekolah ini, setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat ada perhimpunan. Kerap kan. Hari Isnin perhimpunan rasmi, hari Rabu perhimpunan Kokurikulum dan hari Jumaat Majlis Bacaan Yasin atau Silent Reading. Semasa perhimpunan, bahagian yang paling saya suka adalah semasa pasukan pancaragam memainkan lagu Negeraku, lagu Perak dan lagu Clifford Tercinta.





Perhimpunan kokurikulum pula akan menarik kalau ada persembahan kawad dari unit uniform. Kalau tiada persembahan kawad, komander akan memberikan arahan seperti latihan kawad asas. Semasa perhimpunan kokurikulum, pelajar yang berjaya dalam sukan dan kokurikulum akan menerima sijil, trofi dan pingat mereka secara rasmi.


Pelajar SMK Clifford memang sangat komited terhadap sukan dan kokurikulum. Bola sepak, hoki dan ragbi adalah permainan utama sekolah ini. Sepak takraw pula pilihan utama pelajar 'orang asli'. PKBM sentiasa cemerlang dengan persembahan kawad kaki. Robotik, selalu dekat di hati saya.


Enam tahun saya di SMK Clifford, rasanya saya tak pernah rajin menjalani rutin sebagai guru. Saya guru yang malas. Malas nak tulis buku rekod, malas nak semak buku latihan, terutamanya PBS, malas nak pergi mesyuarat, malas nak datang sekolah ganti, malas nak menggubal kertas peperiksaan, malas buat headcount dan macam-macam lagi penyakit malas ada dalam diri saya. Saya cuma suka membalut buku, mengajar dan menyemak kertas peperiksaan. Saya selalu teruja nak tahu pencapaian pelajar saya. Bila fikir balik, rupa-rupanya saya seorang yang teruk, ooopsss!




Tapi itulah kenangan. Sedar tak sedar, sebenarnya saya rindu rutin saya di Clifford. Tapi dah 6 bulan saya tinggalkan Clifford. Clifford masih dihati saya. Memori yang tercipta, kekal di kotak ingatan saya, InsyaAllah.


28/2/2014 - 28/9/2014
Dah lengkap 6 bulan saya di Kolej Matrikulasi Sarawak.
(^__^)


Jadual Peperiksaan PSPM Semester 1 Sesi 2014/2015

Jadual Peperiksaan PSPM Semester 1, Program Satu Tahun (PST), Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia.


pspm1
*klik untuk besarkan imej*


Kepada semua calon PSPM 1,
terutamanya warga KMSw,
Selamat mengulangkaji pelajaran.
Work hard and smart until the last minute.
May success will be yours.

Kertas Kimia adalah pada hari Rabu, 29 Oktober 2014.
Sesi ini bertuah kerana tempoh menjawab Kertas 2 dipanjangkan daripada 2 jam kepada 2 jam setengah. Semoga dengan penambahan masa menjawab ini, prestasi calon PSPM bertambah cemerlang.
(^__^)


Sabtu, 27 September 2014

Sabtu

Hari Sabtu Hari Membersih. Seawal subuh, membasuh pakaian yang dikumpul selama seminggu. Kemudian menyapu  dan menggemop lantai. Sawang dibersihkan.  Hari ini ada masa untuk menyusun semula susun atur rumah. Menggemas almari baju, rak di ruang tamu dan kabinet dapur.  Masa yang diperlukan untuk selesaikan kerja-kerja membersih lebih kurang 3-4 jam. Lebih lama daripada yang dijangka.

Selesai kerja membersih, perut minta diisi. Nasi dan ayam goreng jadi santapan. Kemudian rehat sambil menonton tv. Tapi rancangan tv tidak menarik perhatian. Agenda seterusnya, mandi. Setelah mandi, tidur....



Sabtu adalah hari tidur. Setelah penat bekerja selama seminggu, dapat tidur siang sangat melapangkan dada. Seakan semua kerja dah selesai. Tak perlu fikir tentang kerja. Boleh tidur dengan lena seperti seorang Sleeping Beauty. Terjaga dari tidur, masa terluang diisi dengan melayari FB, G+ dan blog. Hati terasa bersyukur sangat ada masa yang banyak untuk berehat. Sekelip masa, petang melabuhkan tirai.

Malam disambut dengan permintaan untuk mendapat konsultasi personal dari seorang pelajar. Sejam diluangkan untuk membantu pelajar itu. Selepas sesi konsultasi itu, masa diluangkan untuk memantau keadaan asrama. Ragam manusia, macam-macam. Tak perlu ditegur selagi ragam mereka tidak menganggu ketenteraman awam.

Sebelum Sabtu berganti ahad, sebelum mata dipejam semula, Tv ditonton lagi. Kisah Indiana Jones di TV2. Walaupun sudah berkali tengok, kisah penyiasatanya tidak pernah menjemukan.


Akhirnya, berakhirlah Sabtu. 

Isnin, 15 September 2014

Merdeka-57 Di bumi Sarawak


Penutupan Bulan Kemerdekaan di KMSw.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Ahad, 14 September 2014

Refflesia tuan-mudae di Gunung Gading, Sarawak

Saya mempunyai banyak pengalaman di Gunung Gading. Dalam masa lima bulan,saya telah mendaki Gunung Gading sebanyak tiga kali. Kali pertama, saya pergi ke Gunung Gading bersama fasilitator-fasilitator Minggu Pendaftaran Pelajar Baru (MPPB) Sesi 2014/2015 untuk aktiviti team building.  Cadangnya nak mendaki hingga ke puncak tapi hari hujan dan tanah licin. Jadi kami cuma mendaki separuh jalan je.




Kali kedua saya ke Gunung Gading bersama rakan-rakan pensyarah untuk team buliding anjuran kelab staf. Tujuan kami nak mencari dan melihat bunga reflesia. Tapi yang kami jumpa hanya bangkai bunga reflesia sahaja. Bunga reflesia telah layu beberapa hari sebelum kami datang. Tak dapat tengok bunga reflesia kami mendaki gunung gading sehingga sampai ke kawasan air terjun. Trek untuk sampai ke kawasan air terjun ni agak sukar tapi memang pendakian yang berbaloi. Air terjun gunung gading ni sangat besar. Airnya sangat jernih dan sejuk.


air terjun gunung gading

Kali ketiga saya datang ke Gunung Gading semasa Hari Kemerdekaan. Memang saya rasa sangat merdeka kerana impian untuk melihat bunga pakma @ bunga reflesia tercapai. Kali ini saya datang ke Gunug Gading bertiga sahaja, bersama seorang  housemate dan seorang lagi rakan felo.

Pada mulanya kami hampa sebab tak jumpa bunga reflesia yang dicari tapi nasib baik, dalam perjalanan pulang kami bertembung dengan sepasang pelancong yang sedang ber’posing’ bersama bunga reflesia. Rupa-rupanya bunga reflesia yang dicari tu berada di kaki bukit Gunung Gading je. Lebih kurang 10 minit pendakian sahaja. Pasangan pelancong tu berjaya temui bunga pakma sebab mereka menggupah ranjer untuk menunjukkan lokasi bunga pakma.


bunga pakma ekspidisi gunung gading

Inilah bunga reflesia yang kami temui. Bunga reflesia ini daripada spesis Refflesia tuan mudae. Kalau disemenanjung ada juga bunga reflesia, tapi dari spesis lain. Kebanyakkan refflesia di Perak dan Pahang adalah dari spesis Rafflesia hasselti. Kalau nak tengok Rafflesia hasselti ini, boleh la pergi ke Royal Belum National Park atau Batu Kurau di Perak atau Cameron Highlands di Pahang. Di Kelantan pun ada juga bunga reflesia, iaitu dari spesis Rafflesia kerrii. Bunga Rafflesia kerrii  boleh di dapati di perkampungan orang asli di Sg Brok National Park. Sabah, semestinya ada juga bunga reflesia, bahkan Sabah mengangkat bunga reflesia sebagai bunga rasmi negeri Sabah.


bunga reflesia gunung gading

Ini adalah kulup bunga Refflesia. Kudup bunga reflesia ini mengambil masa 8 hingga 9 bulan untuk matang dan mekar sepenuhnya. Perubatan melayu tradisional dan orang asli menggangkat status kulup bunga reflesia sebagai suatu herba yang amat baik untuk ibu berpantang. Orang asli biasanya mengutip kulup ini untuk dikeringkan. Apabila ia kering, kulup bunga reflesia akan dipotong kecil dan dibuat air rebusan. Air rembusan ini sesuai untuk ibu bersalin kerana dikatakan dapat mengecutkan rahim.

Sebenarnya aktiviti menggutip kulup bunga reflesia ini salah dari segi undang-undang kerana bunga reflesia adalah tumbuhan yang dilindungi. Jadi, jika anda nampak ada orang asli jual kulup bunga reflesia di tepi-tepi jalan, sila jangan beli.


dead reflesia

Bunga reflesia mekar selama seminggu sahaja, kemudian ia akan layu. Apabila ia layu, kelopak-kelopak merah itu akan bertukar kepada warna hitam dan seterusnya mereput. Jadi kalau anda berhajat nak tengok reflesia, pastikan dulu bunga reflesia itu tengah berkembang.

Saya bayangkan semua reflesia bersaiz gergasi, rupanya tidak. Bunga Reflesia yang paling besar adalah daripada spesis Rafflesia arnoldii. Bunga ini terdapat banyak di Pulau Sumatera, Indonesia. Saiz bunga Refflesia tuan muade yang ada di Taman Negara Gunung Gading ni antara 50-70cm sahaja.

reflesia gunung gading

Alhamdulillah, Allah bagi saya rezeki melihat bunga pakma dan melihat keindahan flora dan fauna di Taman Negara Gunung Gading.


Sabtu, 13 September 2014

Kali Pertama Menjadi Pengerusi Mesyuarat

Dulu, bila saya jadi setiausaha mesyuarat, saya rasa banyak sangat kerja. Sebelum mesyuarat kena buat tempahan tempat mesyuarat, sediakan surat panggilan mesyuarat dan sediakan senarai kehadiran. Semasa mesyuarat pula kena buat catatan lengkap. Kadang-kadang sampai lenguh tangan buat catatan untuk minit mesyuarat. Tambahan pula, kalau itu mesyuarat PIBG atau mesyuarat guru. Lenguh teramat sebab mesyuarat sangat lama, sampai dua tiga jam.


Selepas tamat mesyuarat kena siapkan minit mesyuarat pula. Minit mesyuarat tak boleh buat sebarang, kena ikut format yang ditetapkan dan menggunakan kosa bahasa yang betul. Ejaan tak boleh silap langsung. Selepas siap minit mesyuarat kena dapatkan pengesahan daripada pengerusi mesyuarat ataupun ketua jawatankuasa yang terlibat. Kalau tak ada masalah dengan minit mesyuarat yang disediakan, boleh la diperbanyakkan dan diserahkan kepada semua ahli mesyuarat. Kalau salah, kena la betulkan semula.




Tapi bila jadi pengerusi mesyuarat, rasanya lagi susah daripada jadi setiausaha. Otak kena banyak berfikir. Pengerusi yang bagus dapat menetapkan agenda dan membincangkannya dengan lengkap dalam masa yang singkat. Beliau juga dapat mengerakkan ahli mesyuarat untuk menjalankan tindakan daripada keputusan mesyuarat. Saya tak nak mesyuarat menjadi sesi buang masa. Buang masa sebab tiada perbincangan yang bermakna. Saya harap, saya dapat jadi pengerusi mesyuarat yang bagus itu. Kalau tak, rosak la unit saya nanti. (^__^)


Kenapa saya kena jadi pengerusi mesyuarat pulak??? Sebab surat bertarikh 5 September 2014 tu laa.

Khamis, 11 September 2014

Sehelai Surat, Seribu Satu Cabaran



Dalam sistem pengurusan Bahagian Matrikulasi KPM, Ketua Jabatan mesti pensyarah DG48 dan Ketua Unit mesti pensyarah DG44. Bekas ketua unit kimia saya dah naik pangkat dari DG44 ke DG48 dan beliau dilantik jadi Ketua Jabatan Sains. Jadi saya terpaksa la mengisi kekosongan jawatan Ketua Unit Kimia. Dalam unit saya, hanaya saya seorang sahaja pensyarah DG44.


Kalau di sekolah dulu, kalau ada guru cemerlang beliau yang selayaknya dilantik menjadi Ketua Panita, tapi di sini, walaupun ada pensyarah kanan DG52 dalam sesuatu unit, tetapi pensyarah DG44 yang kena jadi Ketua Unit. Orang lain, tak boleh. NO! NO! NO!


Jujurnya saya berat hati nak terima pelantikan ini sebab saya rasa masih banyak lagi yang perlu saya pelajari dalam sistem pengurusan bahagian matrikulasi, tapi macam saya nyatakan tadi, di sini ketua unit wajib DG44 dan saya la satu-satunya pensyarah DG44.

Saya harap, nanti akan ada seorang lagi pensyarah kimia DG44 yang ditempatkan di KMSw. Kalau dia ada, lebih mudah la saya memohon pindah ke semenanjung, sebab akan ada orang lain yang boleh pegang jawatan  ketua unit.

Soalan Sains UPSR Bocor: Kenapa Perlu Bocor?



Soalan Kertas Sains 018 tahun 2014 bocor. Beberapa persoalanan bermain di minda saya. Kenapa kertas UPSR? Kenapa subjek Sains? Kenapa tahun ini? Persoalanan yang lebih besar, kenapa perlu membocorkan soalan Kertas Sains 018.


Adakah pembocor soalan itu seorang individu atau satu pasukan? Adakah mereka dibayar dengan ribuan ringgit untuk membocorkan soalan. Adakah mereka membocorkan soalan kerana ingin mendapatkan populariti atau satu kaedah mengaut keuntungan daripada kem teknik menjawab soalan yang mereka terajui. Adakah kerana masyarakat lebih mementingkan keputusan di atas kertas  berbanding pengetahuan calon UPSR itu sendiri. 


Bagi saya, kebocoran soalan menunjukkan kerapuhan sistem pendidikan. Kerapuhan sistem pendidikan ini jika dibiarkan akan memjejaskan generasi akan datang seterusnya merosakkan masa hadapan negara. Baru je masyarakat reda dengan isu PT3, sekarang isu soalan bocor pulak!