Selasa, 10 Mac 2015

Universiti Awam, UA Ganti IPTA


JOHOR BAHRU - Istilah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak lagi akan digunakan untuk merujuk universiti awam, sebaliknya akan diganti dengan istilah Universiti Awam (UA) berkuat kuasa serta merta.

Ini diputuskan melalui mesyuarat Jawatankuasa Naib-Naib Canselor dan Rektor (JNCR) hari ini dalam usaha memartabatkan status universiti-universiti awam dalam negara.

Pengerusi JNCR Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, jawatankuasa itu sebulat suara mahu istilah IPTA ditukar kepada UA bagi memberi pengiktirafan status yang lebih berprestij kepada universiti awam.


"Setelah mendapat persetujuan Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan baru-baru ini, semua universiti awam yang terdapat di seluruh negara selepas ini akan dikenali sebagai UA manakala istilah IPTA pula akan diguna bagi merujuk kolej komuniti dan politeknik," kata Kamarudin selepas mempengerusikan mesyuarat JNCR di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.


Pelaksanaan istilah ini akan melibatkan sebanyak 20 buah universiti awam dan lebih 60 Kolej Komuniti dan Politeknik.

Ini termasuk Universiti Malaya, UTM, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Terdahulu, jawatankuasa itu turut memaklumkan penggunaan Penyata Kelayakan Malaysia di kesemua 20 UA.

Kamarudin berkata, penyata itu yang memberi nilai tambah kepada skrol dan transkrip graduan mengandungi maklumat terperinci berkenaan pelajar termasuk kemahiran insaniah yang dimiliki mereka.

"MQS lebih terarah kepada ciri sahsiah yang tidak dinyatakan dalam skrol atau transkrip," kata Kamarudin, yang juga Naib Canselor Unimap.

Ia termasuk penglibatan para graduan dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilihat penting untuk mengimbangi graduan dengan pencapaian akademik terutama pada ketika mereka hendak memohon pekerjaan atau melanjutkan pelajaran ke luar negara, katanya.

Mesyuarat JNCR, yang mempunyai empat siri setahun itu, dihadiri 16 Naib Canselor dan Rektor universiti awam.

Siri kedua mesyuarat itu dijangka berlangsung di Universiti Malaysia Sabah Mei ini. - Bernama



copy paste dari sinarharian.com bertarikh 9 Mac 2015