Isnin, 18 Mei 2015

Perbezaan Mengajar di Kolej Matrikulasi dan Sekolah

Alhamdulillah. Program Matrikulasi Sesi 2014/2015 telah melabuhkan tirainya. Untuk pengetahuan, saya berhijrah dari sekolah ke kolej matrikulasi pada bulan Februari 2014. Saya sempat mengajar pelajar Sesi 2013/2014, tapi untuk tempoh yang pendek. Sesi 2014/2015 adalah sesi pertama saya mengajar kedua-dua semester satu dan semester dua.

Mengajar di kolej matrikulasi dan sekolah sebenarnya tak dapat dibandingkan. Masing-masing ada keseronokan dan cabaran  yang tersendiri. Sebelum saya makin 'melupakan' suasana mengajar di sekolah sebagai seorang guru, rasanya lebih elok saya abadikan dengan ringkas beberapa point di dalam blog ini. Buat kenangan untuk saya di masa hadapan. Boleh juga beri gambaran kepada guru-guru sekolah, apakah yang pensyarah program matrikulusi lalui.


RPH vs RPM
Jika di sekolah dulu, saya menulis Rancangan Pengajaran Harian, RPH di dalam buku Rekod Mengajar. Tetapi sekarang, saya menyediakan Rancangan Pengajaran Mingguan, RPM secara bercetak. RPM itu disimpan dalam Teaching Portfolio. Bukan semua kolej yang menyediakan RPM, ada juga yang menyediakan RPH cuma tempat saya memilih untuk menyediakan RPM. (^__^). Alhamdulillah, mudah kerja.

RPM yang saya tulis ringkas sahaja, cuma dicatatkan learning comes, activities dan reflections. Tiada lagi teaching learning meterials/ABM, students prior knowledge/pengetahuan sedia ada pelajar, dan KBKK/KBAT seperti di sekolah. Teringat dulu, semasa minggu pertama persekolahan, saya sibuk membalut dan menghias buku rekod, tapi sekarag tak. Ringkas sahaja teaching portfolio saya. Teringat juga, di sekolah dulu, reflection harus ditulis menggunakan pen merah, tapi saya selalu terlanjur tulis guna pen hitam, Kadang-kadang terlupa tulis pun ada. Al maklum biasanya tulis reflection pada hari jumaat, sebelum hantar buku rekod. Kira nak cepat je (^__^).

Kalau di sekolah saya mengajar dulu, kami cikgu-cikgu akan menghantar buku rekod pada Pengetua atau Penolong Kanan Kurikulum, tapi di kolej matrikulasi pensyarah akan menghantar RPM kepada Ketua Unit. Contohnya, pensyarah fizik akan hantar RPM kepada Ketua Unit Fizik. Kami tak hantar RPM pada Pengarah.


25 waktu seminggu vs 13 jam seminggu
Kalau di sekolah saya dulu, masa mengajar lebih kurang 25 waktu seminggu. Setiap waktu bersamaan 40 minit. Kalau ditukarkan kepada jam, adalah 16.67 jam. Tapi di kolej sekarang purata setiap pensyarah akademik mengajar adalah 13 jam. Kurang sedikit. Tapi masa kerja kami lebih panjang. Clock in jam 7.30 pagi dan clock out jam 3.45 petang. Kalau ada kelas, kena mengajar sampai jam 4.30 sebab masa PdP di kolej adalah dari jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang. Masa terluang digunakan untuk konsultasi pelajar, menyediakan bahan PdP, menyemak kuiz, tugasan dan laporan amali pelajar.


Kelas Tambahan Petang vs Kelas Tambahan Malam
Kalau di sekolah dulu, awal-awal tahun dah mula kelas tambahan berjadual yang disediakan oleh pihak pengurusan. Habis PdP rasmi jam 2.40 pm, kemudian sambung kelas tambahan pula jam 3.30 pm. Waktu tu, saya rasa penat sangat sebab terpaksa mengajar pada waktu petang yang panas. Tapi sekarang lagi penat, sebab buat kelas tambahan waktu malam. Nak buat petang memang tak boleh sebab jadual kelas pelajar tamat jam 4.30 petang. Kebiasaannya di kolej, pensyarah buat kelas tambahan untuk memastikan learning outcomes tercapai pada masa yang ditetapkan. Selalunya kalau ada cuti am pada weekdays, terpaksa la ganti kelas pada sebelah malam.


Rasanya sekurang-kurangnya 6 kali setiap semester saya buat kelas tambahan malam. Belum termasuk Percubaan-Ujian Pertengahan Semester dan Percubaan Peperiksaan Semester Peringkat Matrikulasi (PSPM) yang dijalankan pada waktu malam. Nak buat kelas tambahan hari Sabtu, kesian pula pada pelajar sebab itulah masa untuk mereka berehat, membeli barang keperluan dan buat ulangkaji sendiri. Memang bercinta saya datang kelas malam sebab sepanjang 6 tahun saya mengajar di sekolah saya tak pernah buat kelas malam.







Mesyuarat/Taklimat Guru vs Perhimpunan Staf Bersama Pengarah
Tiada mesyuarat yang melibatkan semua pensyarah serentak seperti di sekolah. Kalau adapun Perhimpunan Staf Bersama Pengarah. Mesyuarat di kolej biasanya berasaskan unit-unit bertentu sahaja. Perhimpunan Bersama Pengarah pun tak sekerap mesyuarat/taklimat guru. Kadang-kadang saya rindu untuk menghadiri mesyuarat macam di sekolah. Cikgu biasa dapat terus membangkitkan masalah terus kepada Pengetua dalam mesyuarat. Terasa wujud ikatan yang lebih rapat, kuat dan jujur antara guru dengan pengetua dan pihak pengurusan sekolah. Di kolej matrikulasi, kalau ada masalah, kena maklumkan kepada Ketua Jabatan.


Merentas Desa vs Larian KAKOM
Konsep Larian KAKOM secara amnya tak ubah macam Merentas Desa. Tapi di kolej saya, larian KAKOM ini dibuat di dalam premis sahaja.  Tak masuk kampung langsung. Jarak yang lebih dekat dan tiada check point. Kolej lain, saya tak pasti macam mana. Tapi saya rindu pulak nak bertugas semasa Hari Merentas Desa macam dulu-dulu. Sambil jaga check point, sambil mengeluh panas, kena gigit kerangga, sembang-sembang dan beri sokongan pada ahli rumah sukan. Rindunya!


Kejohanan Olahraga dan Balapan vs MiniKAKOM
Kolej saya kolej kecil. Tak banyak yang boleh saya jelaskan tentang miniKAKOM. Biasanya miniKAKOM dianjurkan oleh Unit Kokurikulum bersama Pengurusan Kolej Kediaman. Dijalankan semasa semester pertama. Tujuannya adalah untuk memilih atlet terbaik untuk mewakili kolej ke Karnival Kokurikulum Matrikulasi. Orang kuat adalah pensyarah kokurikulum, dibantu juga oleh pensyarah-pensyarah dari unit lain. MiniKAKOM taklah segah Hari Sukan, tapi masih salah satu program terpenting dan dinanti-nantikan di kolej. Seronok pelajar-pelajar tu dapat bersaing dalam sukan.


Hari Ucapan dan Anugerah vs Jamuan Kecemerlangan
Tiada Hari Ucapan dan Anugerah yang gah. Tak panggil VVIP, tak panggil ibubapa. Tapi masih meraikan pelajar yang cemerlang. Plak diberikan kepada pelajar yang cemerlang semasa jamuan pelajar bersama pengarah. Ringkas, tapi sangat bermakna kepada pelajar.


Perpimpunan Rasmi vs Perhimpunan Pelajar
Di kolej tiada perhimpunan setiap minggu. Rasanya bagi kohort sesi 2014/2015, perhimpunan pelajar lebih kurang empat atau lima kali sahaja. Setiap kali perhimpunan pelajar diiringi dengan suatu acara yang penting seperti pemberian Baucer Buku 1Malaysia.


Minggu Orientasi vs MPPB
Kalau di sekolah, umumnya dinamakan Minggu Orientasi pelajar Tingkatan 1, 4 dan Pra-Universiti. Tapi di kolej, ia dinamakan Minggu Pengurusan Pelajar Baru. Persiapan yang hebat dilakukan untuk MPPB. Daripada pemerhatian saya MPPB inilah program yang paling gah kalau di kolej matrikulasi.


Time-Based vs Fast Track
Ramai yang tanya saya tentang kenaikan pangkat bagi pensyarah kolej matrikulasi.  Saya masih lagi kabur tentang ini.  Saya pun nak tahu rezeki saya di kolej matrikulasi tapi saya tak dapat penjelasan yang konkrit tentang fast track. Minta maaf banyak-banyak.


Cikgu vs Pensyarah
Di kolej saya pelajar memanggil pensyarah dengan panggilan Miss/Madam/Sir. Tapi sesetengah kolej lain, pelajar panggil pensyarah dengan panggilan cikgu. Panggilan bagi jawatan lain seperti di bawah. Panggilan yang berbeza sebenarnya bermaksud tanggungjawab juga berbeza, tapi yang saya bandingkan ini, adalah yang paling mirip.
  • Pengetua - Pengarah
  • Penolong Kanan Pentadbiran - Timbalan Pengarah
  • Penolong Kanan HEM dan Penolong Kanan Kokurikulum - Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar
  • Guru Kanan Mata Pelajaran - Ketua Jabatan Sains, Ketua Jabatan Matematik, Ketua Jabatan Sastera Ikhtisas,
  • Setiausaha Peperiksaan - Penolong Pengarah Peperiksaan
  • Ketua Panitia - Ketua Unit
  • Kaunselor - Kaunselor
  • Warden - Felo
  • Murid - Pelajar


Sebenarnya ramai pensyarah kolej matrikulasi berasal daripada sekolah. Bukan saya seorang. Saya catitkan sebab saya beralih dari sekolah ke kolej matrikulasi di sini. Tawaran memohon untuk menjadi pensyarah matrikulasi biasanya dikeluarkan sekitar bulan April. Kalau berminat, cikgu boleh la mencuba.

Tapi sejak mengajar di kolej matrikulasi ini, barulah saya faham kenapa cikgu-cikgu sangat diraikan semasa Hari Guru. Memang cikgu-cikgulah yang paling banyak berkorban untuk murid. Tak kiralah wang, masa malah jiwa raga. Cikgu bersama dengan seorang murid selama lima atau enam tahun. Bukan setakat mengetahui tahap akademik, malah mengenali ibu bapa mereka, tahu latar belakang mereka, masalah mereka malah kesukaan mereka. Betul tak? Cikgu sekolah paling hebat!...just my 2 cent thought (^__^)

Orang kata tempat pertama kita posting itu macam cinta pertama. 
Cinta pertama saya di sekolah. Sekarang saya mengajar di kolej matrikulasi tapi asyik teringin nak kembali ke sekolah.