Ahad, 20 Disember 2015

Sistem Pendidikan Terus Diperkasa



SEPANJANG tahun 2015, pelbagai penambahbaikan dilakukan membabitkan pendidikan pada peringkat sekolah, antaranya format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan ditambah baik bermula tahun depan daripada lima menjadi enam.

Keputusan menjadi enam berikutan subjek Bahasa Inggeris (BI) dipecahkan kepada dua gred iaitu kertas pemahaman dan penulisan bertujuan memperkasakan subjek itu, serta meningkatkan penguasaannya dalam kalangan murid.

Turut diubah adalah subjek Sains yang dipecahkan kepada dua bahagian iaitu Kertas 1 membabitkan soalan objektif dan Kertas 2 (subjektif), tetapi gred bagi ujian itu masih kekal satu.

Peperiksaan UPSR tahun depan juga akan menyaksikan pengurangan soalan objektif aneka pilihan, sebaliknya bilangan soalan objektif pelbagai bentuk akan ditingkatkan selain ditambah dengan soalan respons terhad iaitu soalan pendek, sejajar dengan usaha membudayakan unsur kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Selain itu, penambahbaikan juga membabitkan kertas bagi subjek Bahasa Melayu (BM), BI, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil untuk ujian pemahaman, akan mempunyai soalan dalam bentuk subjektif berbanding hanya objektif ketika ini.

Berikutan pengasingan gred kertas BI itu, calon UPSR bagi Sekolah Kebangsaan (SK) akan mendapat enam gred berbanding lima sekarang, manakala calon Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil akan memperoleh lapan gred berbanding tujuh pada masa ini.

Ketika ini, calon UPSR untuk SK diberi lima gred berdasarkan subjek BM yang dipecahkan kepada pemahaman dan penulisan; BI; Matematik dan Sains manakala calon SJK Cina dan SJK Tamil pula diberi tujuh gred berdasarkan subjek BM (pemahaman dan penulisan); BI; Matematik; Sains serta dua lagi masing-masing membabitkan kertas Bahasa Cina dan Tamil (pemahaman dan penulisan).

Sekolah tutup ekoran jerebu Tahun ini, kejadian jerebu yang melanda negara pada Oktober lalu juga turut memberi kesan kepada institusi pendidikan negara apabila lebih 4,700 sekolah di sekitar Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Sabah dan Sarawak, terpaksa ditutup sementara.

Tahun ini juga, Kementerian Pendidikan membuat keputusan untuk menangguhkan syarat wajib lulus mata pelajaran BI dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang sepatutnya berkuat kuasa mulai tahun depan. Penangguhan itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada guru, murid serta pihak berkaitan membuat persediaan lebih rapi.

Selain itu, Peperiksaan Pusat Amali Sains membabitkan mata pelajaran Fizik (Kod 4531), Kimia (Kod 4541), Biologi (Kod 4551) dan Sains Tambahan (Kod 4561) yang sepatutnya dilaksanakan dalam SPM mulai tahun depan juga ditangguhkan kerana kerajaan ingin memastikan kemudahan dan kelengkapan bilik makmal sains sekolah di seluruh negara mencapai piawaian ditetapkan sebelum peperiksaan itu dilaksanakan.

Malaysia juga mencipta sejarah dalam bidang pendidikan apabila berjaya menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2015-2019 selepas memperoleh undi tertinggi dalam kalangan negara Asia Pasifik. Pemilihan Malaysia yang diumum pada Mesyuarat Pleno Ke-12 Persidangan Agung UNESCO ke-38 yang berlangsung pada 11 November lalu, di Paris. Malaysia memperoleh 165 undi, diikuti Vietnam (156); Sri Lanka (149), Korea (137); Pakistan (135) dan Iran (128).

Bagi memperkasakan lagi bidang pendidikan, Kementerian Pendidikan menerima peruntukan RM41.3 bilion melalui Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 23 Oktober lalu sebagai bukti keprihatinan tinggi kerajaan kepada sektor pendidikan. Bajet itu bersifat menyeluruh dan merangkumi seluruh sektor dalam pendidikan seperti pembangunan, kurikulum, kokurikulum dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET). Melalui peruntukan itu juga, Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan dua inisiatif bagi mengukuhkan usaha memperkasa penggunaan bahasa Inggeris diperkenalkan, membabitkan kos RM38.5 juta iaitu Program Imersif Tinggi (HIP) dan Program Dwibahasa (DLP). Pelaksanaan HIP di semua sekolah akan dilakukan secara berperingkat, manakala DLP dilaksanakan secara pilihan. Harum nama negara HIP adalah usaha berterusan Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris dalam komuniti sekolah manakala DLP pula ialah program pengukuhan berbentuk pilihan yang ditawarkan untuk sekolah. Menerusi DLP, sekolah boleh memilih untuk menawarkan pengajaran dan pembelajaran bagi subjek Sains, Matematik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Rekabentuk dan Teknologi (RBT) dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Tahun ini juga menyaksikan empat pelajar sekolah rendah tempatan mengharumkan nama negara pada Pertandingan Reka Cipta Inovatif Pelajar Antarabangsa di Hong Kong, selepas menggondol enam anugerah khas dan satu anugerah emas. Pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ramakrishna, Georgetown, Pulau Pinang itu mempertaruhkan produk inovasi Noise Reducer, yang dibuat berasaskan sisa buangan pertanian bagi mengurangkan kebingitan bunyi pengisar menggunakan campuran tiga jenis sisa buangan pertanian iaitu sabut kelapa, hampas tebu dan tangkai jagung serta soda.

Difahamkan idea itu tercetus disebabkan bunyi pengisar kegunaan untuk memasak yang agak membingitkan telinga. Semua pelajar berkenaan mengambil masa kira-kira dua tahun bagi menyiapkan serta memastikan ciptaan itu berfungsi sepenuhnya.



sumber:
Berita Harian