free
hit counter

Menziarahi Masjid Nabawi 17 Tahun Lalu

Sewaktu kali pertama saya pergi menunaikan umrah, pada masa itu saya baru belajar di Tingkatan 1. Dan pada masa itu saya berumur 12 tahun 5 bulan.

Rasa macam saya sudah layak untuk ikut mak dan bapa pergi umrah sebab saya sudah belajar rukun umrah dan haji semasa di kelas pendidikan islam.

Solat-solat sunat pun sudah saya belajar dan quran pun sudah saya khatam. Maka semua ni kiranya macam sudah cukuplah ilmu di dada. Tapi terdapat macam-macam drama yang saya buat, terutamanya semasa saya berada di masjid nabawi.

Masjid Nabawi

Sumber: wikipedia

Kami menziarahi ke Madinah sebelum sampai ke Mekah. Kami sampai di hotel yang terletak di Madinah pada waktu malam lebih kurang jam 9 malam.

Pergi ke Masjid Nabawi Pukul 10 Malam

Kemudian mutawir minta kami berkumpul pada jam 10 malam untuk pergi ke Masjid Nabawi. Malam weh, dalam otak saya yang bijaksana ni, mana ada orang pergi ke masjid pada pukul 10 malam punya.

Orang pergi ke masjid sebelum masuk waktu solat. Jadi pada fikiran saya, jika pergi ke masjid pada pukul 10 malam, mesti masjid itu kosong tanpa seorang pun!

Lagipun bagi saya adalah penatlah nak pergi ke masjid setelah 9 jam. Perjalanan udara dari Malaysia dan 5 jam perjalanan darat dari airport Jeddah ke Madinah sudah buat saya amat letih dan ingin nak tidur. Lagi masjid itu terletak bukan dekat tetapi jauh dari hotel. (hotel-hotel yang ada sekarang semuanya baru dibina semula ya)

Jadi boleh anda cuba untuk bayangkan betapa muncungnya mulut saya bila tahu kena pergi ke Masjid Nabawi pada jam 10 malam dan betapa melopongnya saya melihat ramainya umat Muhammad s.a.w dalam masjid di tengah malam.

Beberapa hari di Madinah dan Masjid Nabawi saya pelik tengok orang sentiasa solat dalam masjid. Saya tahu bahawa mereka buat solat sunat, tapi lepas subuh dan asar kan tak boleh solat sunat.

Rupanya ramai yang ambil kesempatan untuk qado solat di Masjid Nabawi sebab semua ibadah pahala dilipat gandakan. Kalau di Masjidil Haram, kita boleh solat sunat untuk 24 jam. Ia memang tak ada waktu larangan. Ini memang jakunkan saya dulu.

Dulu juga, saya paling suka apabila mak ajak saya untuk pergi minum air zam zam. Dapat jalan-jalan dalam masjid. Masjid kan cantik dan kelihatan macam lagi cantik dari istana. (macam la saya pernah masuk istana, tapi sampai sekarang pun saya masih lagi berpendapat masjid nabawi lagi cantik dari istana2 kat Malaysia.

Tentu la kan, Masjid Nabawi rumah Nabi Muhammad s.a.w.) kalau mak tak ajak ambil air zam-zam, saya tolong ambilkan. Yang penting dapat tawaf dalam masjid.

Nasib baik tak sesat sebab masjid itu sangat besar, terutamanya dari pandangan budak 12 tahun. Tentang air zam-zam ni, saya rasa pelik kenapa ada air zam-zam sejuk dan tidak sejuk. Mereka simpan air zam-zam dalam peti sejuk ke? Sebab majoriti tong air zam-zam adalah air zam-zam sejuk. Air zam-zam tak sejuk ada sikit saja.

Dulu juga, orang berebut-rebut untuk pergi solat di Raudhah. Jemaah lelaki dan perempuan boleh masuk ke semua kawasan Raudhah bila-bila masa saja.

Berapa “kera masuk kampung” bila saya mengharapkan orang memberi ruang untuk saya solat. Tak ada ruang langsung ya. Dah tu, bila saya nak solat saja ada orang berdiri di depan saya, jadi macam mana saya nak rukuk dan sujud. Kena tolak lagi ada la.

Tapi saya saja yang kena hadang dan mak saya tidak pula. Mungkin mereka pandang saya sebagai budak kecil. Saya dapat solat bila mak saya bawa saya solat di tepi tiang sebab tak ada siapa yang boleh tolak saya.

Tiang tiang di Raudhah tu, nama amnya adalah Sariah dan ia merupakan nama mak saya yang juga dipanggil Sariah. Jadi mak saya dinamakan sempena tempat mustajab doa. Semoga Allah mengabulkan semua doa mak saya.

Tapi disebabkan la budak kecil, saya dapat menyelit untuk melihat makam Rasulullah. Sekarang ni, agak sukar untuk jemaah perempuan untuk melihat makam Rasulullah sebab dinding berlubang untuk melihat makam Rasulullah di bahagian solat lelaki, bukan wanita.

Kenangan dengan bapak tak banyak sangat sebab di Masjid Nabawi, jemaah lelaki dan perempuan diasingkan. Kami berpisah dan bertemu di pintu pagar semasa pergi balik ke masjid.

Menziarahi Masjid Nabawi kali ni, alhamdulillah saya tak buat drama yang bukan-bukan. Tapi saya tetap ambil kesempatan untuk pusing dan bergambar di Masjid Nabawi.

Kenangan paling indah bila dapat pergi ke Raudhah sorang-sorang. Takut sebab pergi waktu malam, dan tak ada kawan. Tapi alhamdulillah hajat tercapai dengan mudahnya.

Baca juga:

Leave a Comment