free
hit counter

Petua Dan Rahsia Lima Minit Yang Kita Perlu Tahu

Apa ada dalam lima minit?

Lima minit merupakan satu tempoh masa yang pendek. “Ala, lima minit je.” Ayat yang biasa kita dengar. Biasanya orang yang berkata begitu memaksudkan masa yang dipintanya dari kita adalah singkat dan sekejap, tidak menjejaskan perjalanan pengurusan waktu kita. Tapi berbeza pula sekiranya kita sedang menantikan sesuatu, atau kita sedang menangung sesuatu yang susah atau menyakitkan. Lima minit terasa begitu panjang. Kalau sesuatu yang kita suka, lima minit cepat berlalu, bagai sepantas kilat.

Walaupun begitu, secara amnya kita bersetuju, lima minit adalah masa yang singkat. Terlampau singkat sehingga banyak ‘lima minit’ yang kita peruntukkan untuk perkara yang tidak membawa makna, tidak berfaedah, atau dibazirkan. Bayangkan, seumur hidup kita, berapanya banyak ‘lima minit’ yang telah kita guna dan untuk apa kita gunakan? Berapa jumlah keseluruhannya setakat ini? Cuba kita tanya diri sendiri setiap kali kita terfikir “Ala, lima minit je“.

rahsia 5 minit

Bagaimana kita boleh gunakan istilah #limaminit ini untuk kebaikan kita? Banyak sebenarnya cara yang ada. Dalam post kali ini saya ingin kongsikan beberapa petua yang saya tahu untuk kita cuba amalkan bersama-sama. Bukankah seronok kalau benda kecil dan sekejap, selama lima minit, yang kita lakukan nanti boleh membantu mengubah keadaan diri kita dan suasana hidup harian kita? Caranya ada, mudah, sekejap, dan berkesan. Anda tidak perlu beli ebook atau hadiri seminar untuk ini. Tetapi, pembacaan lanjut dari apa – apa sumber amat digalakkan untuk anda boleh menjadikan #limaminit sebagai tabiat yang bagus.

Lima minit yang berkesan untuk melawan tabiat suka berlengah

Saya pernah menulis mengenai tabiat suka berlengah. Boleh baca semula di SINI. Petua lima minit yang boleh digunakan untuk membantu mengatasi sifat bertangguh-tangguh ini amat mudah dengan sedikit usaha untuk memastikan tips ini dilakukan secara konsisten. Apabila kita dalam keadaan terpaksa atau berhadapan dengan tugasan besar, kebiasaaannya kita akan cuba melarikan diri. Tangguh dahulu dan fokus kepada perkara, benda, atau tugasan kecil yang lebih remeh. Elakkan begitu. Caranya? Petua Lima Minit.

Bagi petua ini kaedah pertama dilakukan semasa dalam keadaaan santai, atau tiada perkara mustahak yang perlu dilakukan serta merta. Lihat sekeliling, dan tanya diri sendiri soalan berikut. Apakah perkara yang kita boleh lakukan dalam masa lima minit untuk memperbaiki kerja/kehidupan/keadaan/etc disekeliling kita. Jika ada, lakukan segera! Serta merta!Semakin kita mengamalkan kaedah ini, semakin teratur dan produktif aktiviti seharian kita.

Kaedah kedua bagi petua ini ialah ketika sesuatu task atau pekara yang terlintas di fikiran kita. Sekiranya perkara yang perlu dilakukan atau task itu boleh diselesaikan dalam masa lima minit, segera laksanakan. Satu sahaja pantangnya. Lintasan di fikiran ini selalu datang semasa kita sedang melaksanakan tugas besar yang lebih penting, yang kita tidak suka. Pada masa itu, pertimbangan adalah penting, yang mana perlu didahulukan. Tida salah kita menghentikan tugasan besar seketika, sekadar lima minit. Anggap sahaja sebagai rehat, untuk distract fikiran kita yang mungkin sedang bercelaru. Asalkan jangan sampai terlampau kerap.

Tunggu dulu … , selama lima minit

Kalau tadi kita menyelesaikan sesuatu dalam masa lima minit, kini kita gunakan petua yang sama untuk menangguhkan sesuatu selama lima minit. Kontranya disini ialalah langkah tadi membawa kesan positif jika dilaksanakan. Bagi langkah ini pula kita menangguhkan sesuatu yang akan membawa kesan negatif. Tangguhkan dahulu selama lima minit, kerana kesan buruknya boleh dikurangkan dengan drastik.

Contohnya apabila mendapat satu berita a.k.a. khabar angin di media sosial. Walaupun hati melonjak hendak mem’foward‘kan berita itu, cuba tangguhkan selama lima minit sebelum berbuat apa-apa. Ruang masa ini bertujuan untuk menstabilkan emosi kita dan memberi ruang kepada rasional kita untuk bertindak balas. Mungkin juga dalam masa lima minit tersebut kita akan mendapat berita kedua yang mengiyakan atau menidakkan berita pertama tadi. Dalam keadaan ini, menunggu itu lebih baik.

Sama juga keadaannya apabila kita cuba mengikis tabiat buruk. Merokok contohnya. Ketika rasa ingin merokok itu tiba, setkan masa agar kita menunggu sehingga lima minit. Lakukan hanya sekiranya selepas tempoh itu keinginan masih ada. Anggaplah tempoh ini sebagai “cooling off period“. Jika kita berjaya melakukan pengangguhan ini secara konsisten, kemungkinan untuk membuang tabiat itu lebih cerah. Jika tidak hilang terus sekalipun, ia dapat dikurangkan.

Lima minit dipagi hari, lima minit yang pertama

Bangun di pagi hari, jarang ada yang terus melompat terus turun dari katil, betul? Kita biasanya ‘bermalas-malasan’ dahulu atau streching, mengeliat dan sebagainya. Normal. Mungkin mengambil masa selama lima minit. Gunakan masa ini untuk memikirkan perkara positif. Mungkin kita boleh bermula dengan perasaan bersyukur atau thankful kerana masih bernafas. Gerakkan dengan sedar anggota badan dan pancaindera. Tarik nafas sedalam mungkin, dan hembus perlahan-lahan. Kita masih hidup untuk merasai nikmat pada hari ini.

Lima minit pertama ini adalah amat penting. Sekiranya kita benarkan perasan marah, duka, dan stress menguasai lima minit pertama ini, hari kita mungkin tidak seronok dilalui. Amat penting untuk bangun dengan tenaga yang positif. Tidak dinafikan perasaan negatif akan merangkak ke dalam minda kita yang masih separuh sedar. Alihkan segera perhatian kita kepada perkara yang positif. Caranya mudah. Tanya pada diri kita soalan mudah dan kecil yang membawa kepada fikiran positif.

Apa perkataan paling positif yang aku hendak sebut sebagai perkataan pertama aku pada hari ini?
Siapa manusia paling aku suka yang mungkin aku akan jumpa pada hari ini?
Apa pekara menyeronokkan yang mungkin akan berlaku hari ini?
Apa baju terbaik untuk aku pakai pada hari ini?
Apa makanan paling sedap yang aku hendak makan pada hari ini?

Lima minit pertama ini juga adalah masa terbaik untuk goal setting. Pasang niat. Inilah masa untuk kita merangka (bukan dengan detail) tentang aktiviti yang akan kita cuba selesaikan pada hari ini. Mempunyai sasaran akan menyebabkan perjalanan hidup kita pada hari itu lebih terarah dan terurus. Seberat mana sasaran kita adalah berdasarkan kemampuan kita. Bagi tahap permulaan, mungkin kita boleh meletakkan target yang mudah dan ringkas, paling mudah dicapai. Letakkan sahaja walau bunyinya mengarut kerana terlampau remeh. Biarkan target itu menepati dua ciri ini;

  • Membahagiakan / mengembirakan kita.
  • Memberi faedah kepada orang lain.

Lima minit terakhir, penutup kepada hari kita

Sudah bersedia untuk tidur? Hari kita akan berakhir. Sama penting dengan lima minit di permulaan hari, lima minit di penghujung hari juga ada peranannya. Apabila kita tidur, banyak organ kita yang secara semulajadi akan dihentikan fungsinya oleh badan. Hanya yang penting sahaja masih berfungsi. Yang kekal aktif berfungsi ialah otak. Perkara terakhir yang berada dalam fikiran kita pada masa sebelum tertidur, akan dihadamkan oleh otak. Perkara itu perlu kita pastikan yang mengembirakan. Happy toughts.

Sebolehnya ketepikan segala masalah yang mengganggu fikiran. Oleh kerana kita tidak mampu mengawal apa yang kita fikirkan secara keseluruhan, kita boleh guna teknik yang sama seperti tadi. Soalan. Soalan akan membuatkan otak kita terfokus untuk cuba menjawabnya, secara langsung memusatkan fikiran kita kepada soalan tadi. Soal kepada diri sendiri perkara-perkara positif yang telah berlaku sepanjang hari.

Apa makanan paling sedap aku makan hari ini?
Siapa paling cantik/hensem aku jumpa pada hari ini?
Apa benda paling memuaskan hati aku berjaya lakukan hari ini?
Apa perkara paling kelakar berlaku hari ini?
Apa kejadian paling sweet terjadi hari ini?

Tenangkan diri selama lima minit. Biarkan badan berehat sepenuhnya. Lima minit ini juga boleh dijadikan ruang untuk pengisian rohani. Pengisian sebegini akan mendatangkan lebih ketenangan dan mempunyai nilai tambah dalam pembentukan peribadi kita. Manusia tidak mampu beubah dalam masa lima minit. Namun jika lima minit setiap malam, setiap hari, setiap bulan, setiap tahun. Kita akan merasa kesannya. Perubahan yang sedikit dan konsisten lebih kekal berbanding yang drastik dan tiba-tiba.

Bagaimana untuk mengukur lima minit?

Cara yang paling tepat ialah dengan jam. Namun, setiasa melihat jam akan membuatkan kita berasa gelisah. Makin berkuranglah perasaan sabar kita untuk menunggu, atau menyelesaikan sesuatu tadi. Saya mengesyorkan agar kita biasa dan sedar dengan jangkamasa lima minit itu. Ada beberapa cara selain daripada bergantung kepada jam tangan. Nanti saya ceritakan. Selain jam tangan, timer atau pemasa yang mempunyai alarm, adalah lebih baik. Pemasa seperti ini selalu digunakan oleh tukang masak. Malah dalam telefon pintar juga terdapat aplikasi seumpamanya. Selagi ia belum berbunyi, selagi itulah lima minit kita belum tamat.

Bagaimana pula untuk tidak bergantung kepada gadget? Mungkin anda ada lagu kegemaran. Cuba kenal pasti berapakah tempoh yang diambil untuk lagu itu dimainkan. Duration dalam Bahasa Inggerisnya. Dengan mengetahui tempoh ini anda akan dapat menganggar masa lima minit berdasarkan lagu tadi. Mungkin dalam pemanduan anda ke tempat kerja, dua lagu yang berturut bersamaan liam minit. Atau lain-lain bantuan yang berdasarkan pendengaran.

Mungkin anda juga ada cara lain untuk menganggarkan lima minit. Gunakan yang mana selesa. Yang penting, ada lima ninit? Gunakan.

Leave a Comment