free
hit counter

5 Cara Elak Suami Dirampas Orang

Kehidupan berumahtangga merupakan sesuatu yang sungguh mencabar. Pintu untuk membuat onar selalu terbuka luas baik kepada si suami dan juga isteri. Bagi sepasang suami isteri, perlindungan dan pertahanan yang terakhir ialah tanggungjawab, kepercayaan, cinta dan iman yang tulus suci di antara mereka.

Saya amat terkesima mendengar berita keruntuhan rumahtangga. Tambahan pula ada cerita kehidupan peribadi artis yang tidak mampu kekal lama dalam perkahwinan. Tentu tragis kalau keruntuhan rumahtangga akibat perbuatan si perampas suami orang. Sungguhpun cerita ini amat tidak elok untuk digembar gemburkan kepada masyarakat umum.

Tidak adil untuk saya membuat kesimpulan rambang. Misalnya keruntuhan rumahtangga akibat salah suami atau salah pihak isteri. Orang kata jangan menunding jari pada sesiapa. Cara paling baik ialah kita mencegah dari mengubati. Mari kita hayati 5 cara elak suami dirampas orang.

suami isteri

1. Penuhi hati dengan kasih sayang

Kasih sayang jangan diabaikan. Si isteri jangan leka dengan dunia kerjaya, anak-anak dan pergaulan alam maya. Kurang perhatian dari isteri akan menyebabkan suami rasa terpinggir. Hati mereka kesunyian. Dengan sebab kesunyian dan pengabaian tadi si suami akan memburu cinta yang baru.

Tambahan pula wanita di luar sama jauh lebih cantik. Menggoda dan bijak pemikirannya. Ciri-ciri ini pasti diidamkan oleh suami pada wanita baik yang bergelar isteri sendiri atau wanita yang hebat di luar sana.

2. Menjadi pendamping suami setiap masa

Bukan maksud saya untuk menyuruh isteri membontot suami ke mana sahaja. Si suami yang bukan romantik akan rimas juga jika diperlakukan demikian. Saya cuma mahukan si isteri sentiasa di sisi suami ketika balik dari kerja, ketika makan, sebelum masuk tidur dan ketika suami turun bekerja.

Pada masa tersebut si suami amat perlukan isteri untuk bermanja dan teman berbicara. Dalam masa yang sama si isteri perlu menyuntik rasa cinta sehebat yang boleh agar ingatan suami tidak beralih kepada wanita lain di luar rumah.

Mungkin ada yang beralasan kehidupan suami isteri bekerja boleh mengecuali tradisi ini. Perlu ingat kembali bahawa mana yang lebih utama.Soal kerjaya atau rumahtangga.

3. Taat kepada kemahuan ketua keluarga

Apalah guna ketua keluarga jika ahli-ahli tanggungan tidak taat dan tidak rela memenuhi kemahuan seorang ketua. Tak kisah dari pihak isteri maupun anak-anak.

Sebelum berkahwin lagi sudah diberi garis panduan untuk memilih calon suami isteri yang sekufu. Padanan karekter si suami yang boleh mendominasi karekter isteri. Ia amat perlu kerana si suami memang ketua keluarga.

Jika berlaku sebaliknya memang sukar untuk si suami mengurus rumahtangga. Impaknya rumahtangga kurang harmoni dan memberi peluang kepada si suami untuk mencari pasangan baru yang padan.

Sebelum nasi menjadi bubur alangkah elok si isteri berubah untuk menerima hakikat diri bahawa dia dipimpin oleh suami dan bukannya memimpin suami. Biarpun si isteri lebih bijak dan berkarisma serta berwibawa berbanding suami. Contohnya si suami “berhendak” mengapa si isteri menolak dengan alasan letih, kurang sihat dan tiada mood.

4. Cari kecenderungan suami sebagai benteng terakhir

Ada orang kata soal jodoh kita berserah dan bertawakal sahaja. Pendapat saya sangat mudah. Biar kita usaha sungguh-sungguh untuk mengekalkan jodoh dalam rumahtangga.

Seandainya tingkah laku kita kurang disenangi suami maka berubahlah segera. Jangan menunggu saat akhir bagaikan barah pada tahap keempat. Dalam usaha tersebut cuba semak balik kat mana kecenderungan suami supaya ia dijadikan benteng terakhir untuk mengikat cintanya terhadap isteri.

Si suami yang jenis pemakan maka bagus ditambat perutnya dengan masakan kita yang enak-enak. Walaupun hakikat sebenar suami yang wajib masak untuk isteri. Seandainya suami kita yang cenderung kepada perkara yang berada bawah perut maka beri layanan terbaik. Penuhi keinginannya sehingga puas agar hatinya tidak terpaut kepada orang lain selain isterinya.

5. Bina hubungan dengan Allah SWT sebaik yang mungkin

Seperti mana yang saya katakan awal tadi bahawa alam rumahtangga adalah ujian kehidupan. Ketika masih suami isteri maka inilah masa afdal untuk mengamalkan 5 rukun Islam. Jangan sesekali diabaikan biarpun suami kalian kurang kuat pegangan agamanya. Manalah kita tahu dengan rahmat dan kasih Allah maka jodoh kalian berterusan ke jannah. Itulah tujuan kehidupan.

Malah sebagai wanita merangkap isteri telah diberi peluang kemudahan untuk masuk syurga melalui mana-mana pintu. Andainya wanita belum kahwin tahu hakikat ini maka mereka rela untuk dijadikan isteri kedua, ketiga mahupun keempat jika ada suami yang hebat menawan hati mereka.

Ingat tu wahai para isteri. Kedudukan suami kalian tidak muktamad sekiranya kualiti iman isteri tidak diperbaiki. Ada wanita baik yang boleh Allah jodohkan kepada suami kalian sekiranya peluang yang ada disia-siakan untuk program peningkatan iman serta takwa.

Saya tidak menghasut golongan suami untuk mencari jodoh yang baru jika diketahui isterinya banyak kelemahan berbanding kelebihan. Tugas murni suami adalah untuk membentuk karekter isteri menjadi semakin baik dari sehari ke sehari.

Namun jangan terluka dan terlalu kecewa seandainya suami kalian yang menjadi kecintaan isteri tetap dirampas orang lain. Walaupun sudah melaksanakan 5 Cara elak suami dirampas orang.

Ada hikmahnya. Mungkin kalian sebagai isteri bakal dipakejkan dengan ilmu dan nilai takwa sekiranya suami kalian tetap memilih cinta yang baru.

Saya amat yakin jika perkara musibah berlaku menyuruh kita bersabar dan perkara baik menggalakkan kita bersyukur dengan nikmat.

Baca juga: Tips Berbaik Semula Dengan Bekas Kekasih

Leave a Comment