free
hit counter

5 Sikap Positif Belajar Bahasa Asing Versi Orang Maghribi

Adakah anda tahu di mana negara Maghribi? Memang ramai yang rasa keliru dengan nama negara ini. Tapi jika saya cakap keluar bahasa Inggeris untuk negara ini, akan ramai yang cakap: “Oh….”.

Ya, nama Maghribi dalam bahasa Inggeris adalah Morocco. (“Ohhhh”).  Ia merupakan sebuah negara yang berada di Afrika Utara. Negara ini mempunyai satu garis pinggir laut yang panjang di sepanjang Lautan Atlantik.

Pengalaman bagi saya berpeluang untuk berada di Negara Maghribi banyak mengajar saya tentang kepentingan bahasa. Ianya cukup berbeza dengan negara-negara Arab lain yang menjadi destinasi bagi para pelajar di Malaysia untuk belajar.

belajar bahasa asing

Perbezaannya yang amat ketara adalah bilangan pelajar yang belajar di sana. Bilangan pelajar Malaysia adalah sangat sedikit saja.

Setiap tahun, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia hanya menghantar 15 orang mahasiswa pada pengambilan pertama dan beberapa orang lagi mahasiswa pada pengambilan kedua mengikut kekosongan yang ada.

Biasanya kekosongan ini bukan banyak sangat dan ianya diambil daripada kekurangan mahasiswa daripada negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Setakat ini, bilangan mahasiswa Malaysia di Maghribi hanyalah ratusan orang sahaja. Bilangan ini semakin mengecil apabila dipecahkan ke 7 wilayah lain yang menjadi penempatan mahasiswa Malaysia.

Dengan bilangan yang sedikit ini, kepentingan bahasa sangat-sangat diperlukan. Jika gagal, kita akan jadi senang ditipu dan dianiaya oleh orang lain.

Kenapa Orang Maghribi?

Dalam artikel kali ini, saya mengambil contoh sikap orang Maghribi yang kuat belajar bahasa asing. Kebanyakan daripada mereka biasanya akan menguasai lebih daripada 2 bahasa, iaitu bahasa Perancis dan bahasa Sepanyol. Mereka milih dua bahasa ini sebagai bahasa utama mereka adalah disebabkan kedua-dua negara ini pernah menjajah Maghribi.

Selain itu, mereka juga rajin belajar bahasa Inggeris. Dalam erti kata lain, mereka perlu menguasai 3 bahasa asing dalam peringkat pengajian serta kehidupan mereka sendiri. Justeru, saya memilih Orang Maghribi sebagai bahan kajian saya dalam artikel kali ini.

1. Tidak Rasa Malu

Mereka tidak rasa malu untuk belajar. Mereka memang berani untuk bertanya, dan membuat kesalahan. Ia seolah-olah perkataan malu ini tidak pernah ada dalam kamus hidup mereka.

Di dalam kelas Bahasa Inggeris, pelajar Malaysia menjadi tumpuan kerana kepetahan kita dalam berbahasa Inggeris. Namun, ini tidak melemahkan semangat mereka untuk mencuba.

Sehinggakan, ruang untuk pelajar Malaysia menunjukkan kemahiran berbahasa Inggeris itu terbatas kerana keinginan mereka untuk bertanya dan menjawab soalan yang bertalu-talu.

Memang benar, orang malu itu tidak pernah belajar. Terdapat 2 orang yang tidak akan mendapat ilmu, iaitu orang sombong dan malu. Maka, biarlah malu bertempat dan bukannya tersilap tempat.

2. Ceria Dan Menceriakan

Mereka sangat ceria dalam kelas. Seolah-olah kelas itu seperti kedai kopi. Ada saja, perkara yang melucukan terjadi. Tetapi, ini adalah hasil usaha mereka untuk menjadikan sesi pembelajaran itu ceria. Mereka ceria dan menceriakan orang lain.

Sesi pembelajaran yang ceria akan memberikan tenaga yang positif untuk kita belajar. Sesusah manapun sesi pembelajaran tersebut, maka keceriaan dalam kelas dapat membantu kita untuk terus belajar dan belajar dengan bersungguh-sungguh.

3. Berlatih, Berlatih Dan Berlatih

Orang Maghribi suka mencuba. Mereka tidak pernah takut untuk melakukan sebarang kesalahan. Apa yang penting, ialah belajar dalam kesalahan yang telah dilakukan. Lepas tu, terus berusaha dan berusaha kuat. Mereka percaya dengan pepatah Inggeris iaitu “Practice makes perfect”. Perkara yang dilakukan oleh mereka berulang-ulang. Dengan itu, perkara akan menjadikannya semakin mudah dihadam atau difahami.

4. Guna Mentor

Kebiasaannya, mereka akan mencari mentor dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswa tersebut menjadi tempat rujuk bagi mereka. Mentor ini biasanya pegawai yang masih belajar di universiti. Mereka ini faham bahasa asing lebih baik daripada mahasiswa biasa. Biasanya, mereka akan adakan beberapa kelas tambahan melalui persepakatan dengan para mahasiswa.

Untuk berjaya, mentor sangat penting. Mentor ialah orang yang membantu dalam proses belajar bahasa. Kadang-kadang, kita tidak berkesempatan bertanya dengan guru yang mengajar, maka soalan-soalan ini, kita akan utarakan kepada mentor-mentor ini.

5. Dapat Dan Kongsi

Mereka suka berkongsi apa yang mereka dapat atau faham. Kadang-kadang, ketika guru mengajar, mereka terus berkongsi dan berbincang sesama mereka.

Zakat ilmu ialah menyebarkannya dengan meluas kepada orang lain yang sebanyak mungkin. Kuasa memberi sangat penting dalam urusan kehidupan kita. Untuk menjadi lebih berilmu, kita perlu berkongsi ilmu dengan orang lain. Untuk menjadi kaya, kita perlu berkongsi harta dan begitulah sama juga dengan perkara-perkara lain. Apa yang kita beri, itulah yang kita dapat. Lebih kita beri, lebih kita dapat.

Kesimpulan

Sikap yang positif membolehkan kita belajar lebih daripada orang lain. Semakin banyak sikap positif yang ada pada diri kita, maka, semakin tinggilah peluang untuk kita berjaya.

Belajar bahasa asing tidak mempunyai jalan shortcut, kita mesti belajar dengan orang Maghribi di mana semangat mereka memang menjadikan kita rasa hangat sangat untuk hidup dalam dunia ini dengan selalu berfikiran positif dan ingin belajar.

Salam kejayaan buat semua!

Baca juga: Kelebihan Untuk Belajar Bahasa Arab

Leave a Comment