free
hit counter

5 Sistem Online Persekolahan Oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM)

Tahukah anda negara kita merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang memproses data peperiksaan menggunakan komputer? Badan kerajaan yang bertanggungjawab berkenaan hal itu adalah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) yang diselia di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia ataupun dahulunya dikenali juga sebagai Kementerian Pelajaran Malaysia.

Lembaga Peperiksaan Malaysia

Penggunaan sistem komputer itu untuk pemprosesan data peperiksaan telah bermula sejak tahun 1967, ketika itu alamat Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) adalah di Jalan Sulaiman dan sekarang seperti kebanyakan jabatan rasmi kerajaan lain telah dipusatkan dan beralamat di Putrajaya.

Daripada situ, perkembangan sistem pengurusan pelajaran di Malaysia telah semakin canggih hari demi hari. Bukan sahaja untuk urusan pentadbiran dalaman sahaja, tapi pengunaan komputer juga diperluas kepada kita, rakyat biasa ini.

Jadi, mahu tidak mahu, ibu bapa perlu peka atau dalam bahasa Terengganunya perlu cakna dengan perkembangan teknologi sekarang dan mahirkan diri dengan penggunaan komputer untuk menguruskan persekolahan anak masing-masing dengan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Dalam artikel ini, saya akan kupas beberapa urusan sekolah yang anda iaitu ibu bapa, atau bakal ibu bapa, mahupun pelajar sendiri perlu tahu kewujudannya yang mana Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) telah memudahkan untuk kita dengan membolehkannya diselesaikan secara online ataupun bahasa Melayunya secara atas talian.

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan peperiksaan penting dan merupakan syarat umum bagi kemasukan ke mana-mana universiti tempatan terutamanya universiti awam. Pada tarikh 15 Mac 2018 yang lalu, keputusan SPM 2017 telah diumumkan.

Selain daripada pergi menunggu di sekolah menantikan pihak sekolah mengagihkan keputusan peperiksaan masing-masing, Lembaga Peperiksaan Malaysia telah menyediakan sistem semakan keputusan yang boleh dilakukan melalui pautan laman web ini: http://sppat.moe.gov.my/semakan/ .

Urusan kedua dan ketiga ialah semakan keputusan peperiksaan UPSR dan STPM juga boleh dilakukan secara online. Namun, bagi peperiksaan PT3 yang masih agak baru, iaitu selepas perlaksanaan PBS pada tahun 2014 menggantikan peperiksaan PMR, tiada kemudahan online disediakan bagi semakan keputusan.

Urusan yang ke-4 adalah berkait juga dengan keputusan ketiga-tiga peperiksaan tersebut, iaitu permohonan menyemak semula keputusan.

Bagi menzahirkan apa yang tertulis di logo LPM sendiri iaitu adil, sahih dan amanah, mana-mana ibu bapa, guru mahupun pelajar sendiri yang tidak berpuas hati dengan keputusan yang diterima, boleh membuat permohonan untuk disemak semula kertas peperiksaan masing-masing.

Namun, urusan ini agak leceh kerana tidak boleh dilakukan sepenuhnya secara online. Hanya borang permohonannya sahaja yang dapat diperoleh melalui laman web rasmi kementerian pendidikan, dan seterusnya borang itu harus dihantar melalui pos.

Tidak hanya borang-borang, laman rasmi kerajaan juga adalah platform untuk anda mendapatkan informasi terkini berkaitan hal ehwal pendidikan.

Takwim jadual keseluruhan peperiksaan juga boleh didapati. Memudahkan terutamanya bagi keluarga yang besar, supaya ibu bapa dapat menyemak sendiri tarikh keramat peperiksaan dan sebagainya tanpa perlu menganggu tenaga pengajar.

Selain daripada sistem di bawah LPM ini, banyak lagi sistem persekolahan lain yang boleh dilakukan secara online yang saya akan selitkan juga disini, antaranya adalah permohonan kemasukan Tahun 1.

Sistem atas talian ini baru dilancarkan pertama kalinya tahun lepas untuk kemasukan tahun ini, 2018. Bagi permohonan atas talian tahun 2018, ia akan dibuka untuk kemasukan tahun 1, 2019 dan 2020.

Sistem ini masih di tahap awal, dan proses pada tahun lepas masih banyak yang tersangkut kerana pelbagai masalah daripada sistem ini.

Namun, anda tidak perlu khuatir. Mahupun gusar. Jika anda berhadapan dengan permasalahan ini, boleh menghubungi nombor ataupun alamat e-mel yang disertakan dihalaman permohonan online itu.

Sebenarnya, sistem pengambilan ataupun permohonan kemasukan atas talian ini telah wujud sudah lama. Tetapi, sebelum ini, hanya terhad kepada kemasukan Tingkatan Empat serta untuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan juga MRSM sahaja.

Begitu juga dengan pengambilan kemasukan ke universiti awam, iaitu sistem UPU yang sudah wujud tidak silap saya sejak tahun 2002 lagi, yang pada waktu itu internet dan komputer masih lagi sesuatu yang sangat asing bagi kebanyakan masyarakat kita.

Dengan pengenalan sistem ini, pengetahuan teknologi maklumat rakyat Malaysia cepat berkembang dan istilah celik IT dan buta IT semakin kurang kedengaran.

Sistem terakhir yang di bawah LPM adalah pendaftaran SPM ulangan. Bagi mana-mana yang gagal sebarang mata pelajaran SPM ataupun warga tua yang tidak berpeluang mengambil peperiksaan ini dahulu, ataupun ada sebab-sebab tertentu lain yang tidak dapat dielakkan, bolehlah mendaftar untuk mengambil peperiksaan tersebut secara atas talian. Semakan keputusan juga boleh dilakukan secara online.

Walaupun banyak lagi yang tidak sempurna dan ada pelbagai cacat cela tersendiri pada setiap sistem atas talian sekarang, usaha Lembaga Peperiksaan Malaysia ini patut dipuji kerana langkah menjadikan proses permohonan atas talian ini akan memberi banyak impak positif daripada pelbagai aspek terutamanya menjimatkan wang rakyat daripada segi kos membeli sampul surat, setem sehinggalah pada kos pengangkutan.

Anda juga sebenarnya membantu memelilhara alam sekitar dengan berkurangnya penggunaan kertas, penggunaan bahan api kenderaan dan sebagainya.

Baca juga: Cara Sambung Belajar di Jordan Untuk Pelajar Malaysia

Leave a Comment