free
hit counter

Budaya Plagiarism

Ini bukannya artikel budaya plagiarism di kalangan penulis blog, bab itu saya buang jauh-jauh kat tepi. Serius saya sendiri sudah lali membaca isu murahan di dalam blog mengenai si Polan atau Mak Jah yang mengambil artikel orang lain sebagai milik peribadi dan selepas itu dikutuk secukup rasa oleh penulis blog yang merasakan dirinya jaguhan kampung. Tak habis-habis.

plagiarism

Patentkan Hasil Tulisan Anda

Pada saya isu siapa tiru siapa bukanlah masalah utama yang perlu digembar-gemburkan apa lagi bila ianya belum pernah diterbit dan dilesenkan. Beginilah.. kalau dah kemaruk sangat merasakan diri seorang penulis yang hebat, buatlah satu buku.

Lepas itu patenkan satu persatu ayat-ayat di dalam buku itu, dan tampal kat dahi amaran keras daripada peguam anda di mana penulis yang lain boleh disaman sekiranya harta intelek terbaik anda itu diambil. Apa yang perlu diingatkan terlebih dahulu adalah jangan-jangan benda yang anda claimkan sebagai artikel asli milik anda itu pun sebenarnya hasil cetak rompak gubahan kreatif tangan dari penulis lain! Siapa tahu? Tepuk dada tanya selera.

Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Apa yang paling baik yang boleh anda lakukan adalah jangan pedulikan kata-kata seseorang pun, itu merupakan pesan ikhlas dari saya.

Kalau anda terserempak dengan satu artikel dan anda rasa artikel itu sangat menarik, ringan-ringankanlah tangan dengan meng’copy’nya dan kongsi bersama rakan-rakan lain. Ilmu itu sebenarnya untuk perkongsian. Bukankah memang begitu?

Lagi pun apalah sangat dengan kredit? Saya sendiri tidak kisah banyak pun. Apa yang penting adalah anda tak mengaku bahawa idea itu pribumi asal kepala anda atau diterbitkan semula dengan niat mengaut untung daripadanya. Bab tu, memang tidak dapat nak tolong, sudah terang lagi bersuluh implikasinya haram. Itu kata ustaz, bukan saya!

Berbalik kepada budaya plagiarism itu tadi, golongan yang ingin saya perbincangkan di sini ialah khusus buat mereka yang bergelar siswa/siswi.

Nama-nama semua ni cukup gah, orang kampung cakap “golongan bijak pandai dan anak bertuah”. Okey bertuah punya pasal maka golongan ini pun saling berkongsi tuah sesama sendiri.

Bukan saja-saja tau, tapi sebagai menyahut seruan kerajaan bersempena kempen budi bahasa budaya kita. Orang memberi kita merasa dan bagai aur dengan tebing. Tudia memang berbudaya encik-encik dan cik-cik siswa-siswi kita nie kan?

Tapi adakah adik tahu bahawa anda semua plagiat hukumnya haram di sisi agama? Memang tak tahu? Tak apa juga sebab saya memang berbaik hati untuk menolong anda semua untuk mengupasnya hari ini secara percuma dengan menggunakan slanga saya!

Plagiarism Merupakan Satu Penipuan

Plagiat sebenarnya adalah satu penipuan, dengan meniru hasil tangan orang lain. Anda telah menipu pensyarah dengan hasil kerja yang sepatutnya tidak layak untuk diberi markah. Mungkin itu merupakan salah satu cara untuk menyelesaikan tugasan yang diberi, tapi apa yang menjadikan masalah adalah markah itu akan dibawa untuk penilaian secara kolektif. Sekiranya anda berjaya mendapatkan kerja dengan markah yang anda perolehi melalui hasil curi suatu hari kelak, hasilnya akan turut menjadi haram.

Perbuatan plagiat juga boleh diumpamakan seperti satu perbuatan khianat. Anda telah mengkhianati kepercayaan pensyarah kepada anda. Sedangkan perbuatan khianat itu merupakan salah satu daripada 3 tanda-tanda orang munafik!

Selain itu anda hanya akan memperbodohkan diri sendiri sahaja sekiranya terus hidup dengan meniru hasil kerja orang lain. Anda sebenarnya gagal untuk hidup berdikari dan apa yang paling penting adalah anda gagal melahirkan buah fikiran sendiri untuk dinilai oleh orang lain. Maka tidak hairanlah prinsip ‘yes sir’ dan Pak Turut membelenggu hidup anda suatu hari pada masa kelak.

Apa yang paling penting tentang perbuatan plagiat juga akan membentuk tabiat buruk seperti mencuri sekiranya selalu diamalkan. Oh minta maaf, mungkin perkataan mencuri agak ganas dan tak sesuai digunakan untuk budak-budak U! Jadi lebih baik saya katakan meminjam hak orang tanpa kebenaran.

Hari ini dia pinjam tesis untuk ditiru, esok pinjam sabun tanpa kebenaran, lusa pinjam baju, tulat pinjam harta persendirian dan akan datang pula pinjam duit. Pendek kata semuanya pinjam tanpa kebenaran. Salah siapa? Jangan cakap mak mengandung sudah, tak pasal-pasal perkataan anak derhaka menepek kat atas dahi korang tue.

Oleh itu, walau apa pun alasan atau kekangan yang berlaku dalam menyelesaikan sesuatu tugasan yang diberi, buatlah dengan sejujur dan seikhlas hati. Jangan sampai kudis menjadi tokak dan luka sampai menjadi barah baru korang tersedar dari lamunan dan terhegeh-hegeh mencari jalan pulang.

Percayalah kepuasan dan berkat yang diperolehi dengan titik peluh sendiri jauh lebih baik daripada mengambil hasil curi. Walau dengan hanya 1 markah!

Baca juga: 7 Tip Membina Jenama Blog

Leave a Comment