free
hit counter

Cara Untuk Jadi Penceramah dan Beri Ucapan di Tempat Awam

Adakah bercakap di khalayak masih menjadi sebahagian ketakutan anda? Jangan bimbang dan jangan putus asa untuk terus berusaha. Bercakap di khalayak adalah satu kemahiran yang tidak akan berjaya dengan sekali percubaan. Ia memerlukan percubaan yang berkali-kali sehingga anda mahir.

Beberapa perkara penting juga perlu diberikan perhatian apabila anda ingin bercakap di hadapan orang lain. Tidak kiralah sama ada anda bercakap sebagai seorang penceramah, seorang pembentang kertas kerja, seorang pengajar atau sebagainya.

Mengikut tinjauan utama yang menjadikan anda tidak dapat untuk tampil bercakap di hadapan khalayak ialah rasa takut dalam diri. Sebenarnya semua orang mengalami situasi yang sama. Maknanya sebelum anda melihat orang yang hebat bercakap di hadapan, mereka juga turut mengalami rasa takut ini.

beri ucapan awam

Rasa takut yang sebenarnya adalah kurang keyakinan. Belum pernah mengalaminya sudah tentu anda rasa takut. Tapi jangan terlalu bimbang. Anda boleh menjadi public speaker seperti orang-orang yang anda lihak jika anda mahu.

1. Jangan Takut Pada Gemuruh

Anda sendiri tahu gemuruh adalah musuh utama untuk anda bercakap di khalayak ramai. Tapi gemuruh hanya berlaku sebelum anda mulakan percakapan. Bermakna anda boleh tewaskan gemuruh. Gemuruh selalunya menyebabkan anda berpeluh, degupan jantung kencang dan anda menjadi panik.

Perkara pertama untuk hadapi gemuruh anda perlu tenangkan diri. Kembalikan degupan jantung anda ke tahap yang normal. Anda perlu pastikan apa tanda-tanda gemuruh anda. Setelah mengenali tanda-tanda tersebut, percayalah anda boleh mengendalikan rasa gemuruh anda.

2. Kenali Cara Anda Sendiri

Anda bermula dengan amatur. Maka anda jangan takut pada khalayak. Anda boleh kenali cara anda sendiri ketika bercakap di khalayak. Jangan terlalu meniru idola yang anda suka. Itu semua akan lebih menyukarkan anda.

Jika anda seorang yang bercakap dengan nada laju dan jelas, anda teruskan dengan cara demikian ketika di hadapan khalayak. Jika anda seorang yang bercakap sepatah-sepatah, anda teruskan dengan cara begitu. Itu adalah stail anda. Jangan rasa rendah diri.

3. Jangan Hafal Teks

Jika anda baru bermula, jangan cuba hafal teks ketika bercakap di khalayak. Sangat bahaya kerana jika anda terlupa ketika bercakap anda akan panik dan tidak tahu apa yang perlu anda lakukan. Sebaiknya cuba tulis isi-isi penting dan tulis pada kertas kecil. Itu lebih baik dan membantu. Jangan tulis terlalu banyak sebab nanti anda hanya akan membacanya terus dan bergantung 100% pada teks tersebut.

4. Bercakap Pada Topik Yang Anda Tahu

Amat penting! Jangan cuba berlagak pandai bercakap tentang topik yang hebat jika anda tiada pengetahuan mendalam mengenainya. Umpama anda menjerat leher sendiri. Perlu sentiasa ingat tentang ini. Seeloknya buat draf tentang topik yang anda ingin perkatakan. Jangan main hentam sahaja. Biarlah topik yang biasa tetapi anda lancar dan yakin tentang topik tersebut.

5. Membuat Penyediaan Yang Mencukupi

Jika anda ingin bercakap di hadapan khalayak pastikan anda sentiasa bersedia. Ambil semangat dari kata-kata Abraham Lincoln yang sangat berpengaruh, “If I have 8 hours to chop down a tree, I would spent the first 6 hours sharpen my axe.” Bermakna persediaan amat penting sebelum anda bercakap di hadapan orang lain.

Pastikan semuanya persediaan bukan sekadar 50% atau 90%, tetapi anda perlu bersedia 120% supaya keyakinan dalam diri anda tidak mudah luntur ketika anda bercakap di hadapan audien anda. Dan cara terbaik untuk itu ialah teruskan latihan demi latihan. Ingat bahawa ‘practise makes perfect’.

6. Pergi Lebih Awal Ke Tempat Ucapan

Tunjukkan diri anda di tempat anda akan menyampaikan kata-kata anda lebih awal. Seeloknya sejam lebih awal. Datang awal akan dapat membantu anda untuk melihat keadaan tempat tersebut dan juga melihat situasi yang berlaku.

Sedikit sebanyak anda boleh terus merangsang diri dan keyakinan anda untuk melakukan yang terbaik ketika anda bercakap di hadapan audien nanti. Perhatikan keadaan di tempat itu dan juga pentas yang menjadi tempat anda bercakap. Andai ada kekurangan yang mungkin berlaku ketika itu anda boleh terus memperbaikinya sebelum anda mula bercakap.

7. Jadi Seorang Yang Mesra

Ketika anda bercakap di hadapan audien anda, jangan malu dan kaku untuk berinteraksi dengan mereka. Bertanyalah kepada mereka dan jadilah seorang yang peramah dan mudah tersenyum di hadapan mereka. Tanpa anda sedari dengan cara demikian anda mula digemari dan diminati oleh audien anda.

Apabila mereka mula meminati anda, setiap kata-kata anda sudah pasti akan diberikan perhatian dan tumpuan. Tidak sukar bukan?

8. Bercakap Dengan Jujur

Tidak dapat tidak percakapan dan kata-kata anda biarlah dari hati anda. Kata-kata yang datang dari hati sudah tentu juga akan sampai ke hati. Bercakaplah sesuatu yang benar-benar anda fahami. Andai anda mula menyelami hati dan emosi audien anda pastikan bahawa perasaan itu bukan dibuat-buat kerana audien yang mendengarnya akan dapat menilai sejauh mana kejujuran anda menuturkan kata-kata tersebut.

Jadi teruskan latihan anda. Selamat mencuba!

Leave a Comment