free
hit counter

Muhasabah Ramadhan

Hari ini Ramadhan sudah pun masuk hari ke-tujuh. Bagaimanakah dengan amalan anda pada hari ini? Apakah yang telah dibuat dan dicapai oleh anda pada hari ini?

Tibanya bulan Ramadhan pada kali ini, terfikir dalam otak saya untuk berkongsi bersama para pembaca tentang muhasabah Ramadhan yang dapat dibuat.

ramadan

Lalu terlintas saya mempunyai 2 perkara yang mungkin dapat dikongsi. Artikel pada hari ini mungkin adalah lebih kepada diri sendiri. Walaubagaimanapun, boleh kita cuba bermusahabah tentang apa yang dapat dibuat sempena dengan bulan yang berkat ini.

1. Landasan Menjadi Insan Hebat

Teringat saya sebuah kata-kata yang menarik oleh Ustaz Hasrizal di mana beliau katakan: “Syurga adalah untuk insan yang hebat. Jadi, kita tidak punya pilihan melainkan menjadi insan yang hebat untuk ke sana.”

Jika difikirkan dengan dalam, memang semua yang dicakapkan ada benarnya. Syurga memang merupakan satu tempat untuk orang yang hebat. Apabila diperhatikan dan dimunasabahkan diri ini, rasanya layakkah kita berada di syurga?

Apabila cuba menghitung amalan pahala dan dosa yang dibuat, pasti diri ini berasa malu dengan apa yang telah diberikan dalam sekelumit hidup ini seolah neraka tempatnya.

Tetapi kita diri memang sedar juga bahawa kita tidak mampu untuk menahan azab api neraka. Ini adalah kerana azabnya sungguh menyakitkan. Cukuplah sekadar terkena percikan api di dunia pun sudah terasa panasnya, ini pula api neraka yang berkali ganda panasnya.

Lebih-lebih lagi, kali ini bukan tentang sekadar percikan sahaja, tetapi lebih daripada itu. Menyedari hakikat ini, jelas bagi kita yang tidak mampu untuk menahan seksaan api neraka.

Secara logiknya syurga adalah satu tempat pilihan yang terbaik walaupun kita tahu bahawa kita tidak layak kerana kehebatannya. Jadi kita tidak mempunyai pilihan lain. Kita pasti tidak mampu untuk menahan seksaan api neraka yang maha dahsyat, tetapi kita mempunyai pilihan untuk mengubahkan keadaan yang sedia ada. Iaitu menjadi insan yang hebat.

Persoalannya yang ada pada kita adalah bagaimanakah untuk kita menjadi insan yang hebat? Ia bukanlah sesuatu yang mudah tetapi janganlah kita lupa tuhan juga Maha Pemurah. DiberiNya bulan Ramadahan memang ada maksud yang ingin disampaikan. Landasan untuk menjadi insan hebat adalah bermula dengan bulan Ramadhan.

Ramadhan kali ini mungkin adalah landasan yang terbaik untuk kita semua melakukannya. Pentas yang terbaik kerana di dalamnya penuh dengan keberkatan. Pahala puasa yang menjadi rahsia Allah. Malam Lailatul Qadar yang menyerupai ibadah selama 1000 bulan. Bukankah itu sesuatu yang amat hebat? Maka, kita memang mempunyai peluang untuk berubah!

2. Adakah Kita Dapat Berjumpa Lagi Ramadhan?

Bermuhasabah tentang adakah Ramadhan pada kali ini merupakan kali yang terakhir? Kita tidak tahu apa yang akan berlaku sebenarnya. Cukuplah terdapat pelbagai peristiwa sebagai pengajaran tentang qada dan qadar Allah yang dapat dijadikan sebagai renungan.

Walaupun pada logik akal menyatakan bahawa mungkin kita berpeluang untuk berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang, kerana berdasarkan umur yang masih belum menjengah setengah abad, tetap harus kita ingat bahawa masih ada kemungkinan juga untuk kita tidak berjumpanya lagi untuk seumur hidup kita.

Kita menghabiskan Ramadhan kali ini begitu sahaja tanpa melakukan apa-apa pun kerana mungkin dalam diri ini terbitnya sedikit perasaan angkuh kerana kita merasakan hidup kita masih jauh lagi perjalanannya. Kita seolah penuh dengan yakin bahawa kita dapat berjumpa sekurang-kurangnya satu lagi Ramadhan.

Tetapi pernahkah kita terfikir pohon muda yang telah jatuh awal. Pernahkan kita terfikir bahawa ada kawan kita yang bersama pada Ramadhan lalu, kini sudah pun pergi menghadapNya.

Kebarangkalian kecil yang kita tidak langsung terfikir terjadi. Kita seolah yakin berjumpanya untuk tempoh yang lebih lama, tetapi segalanya lesap di takdirNya.

Pernahkah kita mendengar atau mendapat tahu kematian sahabat atau sesama muslim yang meninggal dalam sehari sebelum tibanya Ramadhan. Seakan dekat sahaja Ramadhan dengannya tetapi kuasa Allah yang mengatasi segalanya. Tiada Ramadhan yang buatnya.

Nyata, kita semua orang tidak tahu sama ada kita dapat berjumpa dengan Ramadhan yang akan datang ataupun tidak kerana ia adalah di luar kemampuan kita. Apa yang boleh kita buat ialah kita hanyalah sekadar hambaNYa yang tidak mampu pun mengatur sendiri kehidupan.

Walau bagaimanapun, kita mempunyai saat ini,iaitu Ramadhan pada kali ini untuk berubah.Untuk melakukan sesuatu sebelum kematian itu datang. Tidak ada aktiviti yang lebih baik selain menghidupkan Ramadhan kali ini.

Kesimpulan

Lantas, pada Ramadhan tahun ini saya menjemput para pembaca untuk mengimarahkan masjid dan membuat banyak amal kebajikan. Gunakan peluang dengan sebaiknya sebab kita mungkin tidak akan berjumpa lagi. Seperti nyanyian Mambai dan Raihan, ‘Ku Harapkan Ramadhan Kali Ini Penuh Makna!’

Baca juga: Reload dan Semak Baki Dengan Touch ‘n Go Online

Leave a Comment