free
hit counter

Cinta Isteri Pertama Seorang Suami Yang Berkahwin 4

Bagi semua lelaki, jika kena tanya adakah mereka mimpi untuk dapat mempunyai lebih dari satu isteri, tentu kebanyakan daripada mereka ingin. Ada daripada mereka yang mempunyai niat, dan yang lain harapkan untuk dapat rezeki.

Tetapi adakan anda pernah fikir, mungkin isteri juga ingin mempunyai lebih dari satu suami sebab sudah bosan dengan seorang suami sahaja?

suami ngan 4 isteri

Kisah Lelaki Itu

Lelaki ini mempunyai empat isteri. Yang paling disayanginya ialah isteri yang keempat. Segala apa yang dikehendaki oleh isterinya dituruti. Kalau diberikan sesuatu kepada isteri keempatnya ini, mestilah daripada barang yang terbaik. Kalau ada pendapatan dan rezeki lebih pada masa itu, isteri kempatlah yang mendapat habuannya.

Lelaki ini juga amat sayangkan isteri ketiganya. Isteri ketiganya cantik. Kalau nak ditayang kepada sahabat dan orang, isteri ketiganya inilah yang akan ditayangkan. Isteri ketiga ini dihias, dan selalu dibanggakan oleh lelaki tadi. Boleh dikatakan, sepanjang hidupnya, isteri ketiga inilah yang selalu sahaja disebut-sebut.

Isteri kedua punya nasib yang berbeza. Walaupun lelaki ini sayang kepadanya, ada masanya isteri kedua ini memang tak pernah dijenguk. Kadang kala bertanya khabar, kadang kala senyap sahaja. Isteri keduanya tidak pula pernah merungut. Namun begitu, isteri kedua ini ada satu kelebihan. Bila ada masalah, isteri kedua inilah tempat lelaki tadi mengadu. Isteri kedua ini sentiasa pula menyelesaikan masalah suaminya.

Isteri pertama nasibnya amat malang. Lelaki ini, si suami, entahkan ingat entahkan tidak kepadanya. Keperluan isteri pertamanya tidak pernah di jaga. Apabila bersama isteri pertamanya, lelaki ini tidak mahu memberikan perhatian, kalau boleh ingin pula kembali kepada isteri keempat, ketiga, atau setidak-tidaknya isteri kedua. Asalkan bukan isteri pertama.

Namun, isteri pertama tidak pernah membenci, malah sentiasa mencintai suaminya yang beristeri empat itu…

Ditakdirkan, sampai masanya lelaki ini jatuh sakit dan dapat merasakan ajalnya bakal menjelma. Dia takut untuk melangkah ke alam satu lagi sendirian. Lalu lelaki ini memanggil isteri keempat, ketiga dan kedua agar duduk disisinya. Lelaki ini merayu, “Temani aku ke kehidupan seterusnya”.

Isteri keempat menjawab; “Aku tidak mahu!”, lalu berlalu pergi.

Isteri ketiga menjawab; “Sebaik sahaja engkau pergi, aku akan mencari suami yang lain.”, lalu berlalu pergi.

Isteri yang kedua duduk di samping lelaki yang sedang nazak ini; “Engkau selalu datang mengadu masalah denganku, sentiasa aku bantu. Kali ini aku tidak mampu menolong atau menurutmu. Aku akan bersedih dengan pemergianmu, aku akan menangisi kehilanganmu, aku akan mengiringimu ke pusara. Aku tidak akan mengikutmu setelah itu”. Isteri kedua berbicara.

Lelaki itu semakin sedih dan takut menanti kematiannya …

“Aku tetap akan bersamamu!”, walaupun sudah lama tidak didengar, si suami tahu, itu suara isteri pertamanya. Bila lelaki ini menoleh melihat ke arahnya, kelihatan seorang wanita yang kurus kering, tidak terurus, tidak berhias mengulangi kata-katanya sekali lagi; “Aku tetap akan bersamamu, dan mengikutimu kemana sahaja engaku pergi.

Perasaan menyesal mula merayap ke sanubari lelaki beristeri empat ini…

Demikiannlah kisah sebuah drama kehidupan. Boleh masuk TV tak? Mari kita lihat dahulu barisan pelakonnya.

Barisan Pelakon

WATAK SUAMI:- Suami dalam cerita ini bukan seorang lelaki, bukan juga seekor haiwan. Suami dalam kisah ini ialah gambaran bagi sebuah kehidupan. Setiap kita mempunyai empat isteri, sejauh mana kita kenal mereka dan apa yang kita lakukan untuk mereka?

WATAK ISTERI KEEMPAT:- Isteri keempat ini mewakili tubuh badan ataupun nafsu kita. Setiap keperluan tubuh kita penuhi. Setiap tuntutan nafsu kita ikuti. Hanya yang terbaik, untuk diri kita sendiri. Sejauh manapun kita memenuhi kehendaknya, apabila ajal menjelama, tubuh ini bakal kita tinggalkan, walau seindah manapun ia.

WATAK ISTERI KETIGA:- Isteri ketiga mewakili harta kekayaan dan pangkat. Sesuatu yang sering kita banggakan dan kita tayang. Sesuatu yang selalu kita ceritakan kepada sesiapa sahaja. Apabila ajal, harta yang ditinggalkan akan mendapat tuan yang baharu. Pangkat juga akan menjadi milik orang lain. Isteri ketiga bukan lagi milik kita dan akan berkahwin semula sebaik sahaja kita tiada.

WATAK ISTERI KEDUA:- Keluarga, saudara mara, dan sahabat handai diwakili oleh watak isteri kedua. Kadang kala rapat, kadang kala berjauhan. Apabila ada masalah, mereka kita cari untuk mencari bantuan. Sedaya upaya mereka akan membantu. Apabila kita pergi, mereka akan bersedih, tapi hanya sekadar menemani kita hingga ke pusara.

WATAK ISTERI PERTAMA:- Watak inilah yang mewakili jiwa dan amalan kita. Semakin kita biarkan jiwa liar, semakin kurang amal kita. Kita tidak membelainya, tidak memperbaikinya, walhal, selepas berakhirnya alam fana ini, hanya amallah yang menjadi peneman kita nanti.

Semoga ada pengajaran,

Semoga ada peringatan,

Buat diri sendiri,

Dan pembaca yang dikasihi.

Leave a Comment