free
hit counter

Cara Mengenalpasti Impian Sebenar Dalam Diri

Ramai yang bertanya, apa sebenarnya yang kita mahu dalam diri?. Jika anda salah seorang seperti saya, yang masih kabur dalam menentukan matlamat hidup, di sini ada panduan yang boleh kita ushakan bersama.

impian

Tiada siapa yang dapat memberikan jawapan yang pasti, termasuk diri kita sendiri. Selagi kita belum mengenalpasti keinginan dalam diri ini, kita mungkin akan mempunyai matlamat yang sering berubah-rubah.

Kadang kala kita sangka kita mahu duit yang banyak, tapi sebenarnya kita mahu duit yang banyak supaya kita tak perlu bekerja dalam masa yang lama. Apabila kita bekerja daripada awal pagi sehingga ke malam, kita kurang masa bersama keluarga.

Dalam situasi ini, wang adalah cara, tapi bukan impian sebenar kita. Impian sebenar kita ialah memiliki masa lebih bersama keluarga. Kadang – kala disinilah kesilapan berlaku. Kita mengejar cara berbanding kemahuan utama, sebab kita gagal mengenalpasti apa kemahuan utama kita.

Ada beberapa cara yang boleh digunakan bagi membantu kita mengenalpasti keutamaan ini. Kesemua teknik di bawah memerlukan kita mepunyai ruang dan masa bersendirian untuk dilaksanakan tanpa gangguan.

Mengenalpasti Kemahuan Diri Dengan Soalan Kenapa. (The ‘WHY’ Questions)

Pernahkah kita berhadapan dengan kanak-kanak berumur dua atau tiga tahun yang sering bertanya soalan ‘kenapa?’. Kenapa begitu, kenapa begini, kenapa tidak sebaliknya? Kadang-kadang naik rimas melayannya.

Itulah sebenarnya sifat fitrah semulajadi kita sebagai manusia. Manusia sentiasa ingin tahu. Kanak-kanak tadi tidak akan berhenti sehingga dia mendapat jawapan yang memusakan hatinya atau dimarahi. Semakin besar, kita semakin melupakan kemahiran ini. Apa kata kita guna kembali pertanya ‘kenapa’ ini.

Duduk dengan pen dan kertas (atau apa-apa gadget digital yang boleh membuat catatan) mulakan dengan menulis perkara pertama yang kita inginkan pada masa itu. Kemudian tanya diri sendiri kenapa kita inginkan. Cuba jawap dengan spontan dan tanpa berfikir panjang. Ulang-ulang soalan kenapa sehingga kita buntu atau kita berpuas hati dengan jawapan terakhir kita perolehi.

Jika buntu, tinggalkan dahulu, mulakan semula di lain masa, dengan keinginan pertama sahaja yang sama. Yang seterusnya biar secara spontan dan tanpa berfikir.

Jika kita telah memperolehi jawapannya. Terus tumpukan dan usahakan mencapai kemahuan itu. Jika kemudiannya kita kembali ragu, ulangkan dengan langkah yang sama untuk menilai semula matlamat kita.

Teknik Membina Rutin Harian Yang Ideal

Ambil sekeping kertas. Tetapkan satu peraturan ini; kita mempunyai duit yang tak terkira banyaknya, dan kita tidak perlu melakukan apa yang kita tidak mahu lakukan, sepanjang hari. Dengan kata lain, masa dan duit bukan penghalang pada hari itu.

Tanpa dua halangan ini apa yang kita akan lakukan bermula dari bangun tidur? Tulis dalam keadaan bersahaja dan free flow. Senaraikan perkara yang ingin kita buat, tempat yang ingin kita pergi, dan barang yang ingin kita miliki. Apabila siap, jangan baca kembali, simpan di tempat yang selamat.

Hari kedua, ulang perkara yang sama, tulis apa yang kita ingini sekiranya wang dan masa bukan penghalang. Bebaskan fikiran dan tulis sahaja. Siap, simpan. Ulang beberapa hari , sehingga sekurang-kurangnya ada 10 helai. Lebih banyak lebih bagus.

Pabila kita rasa sudah cukup banyak, baca kesemuanya. Perhatikan persamaan atau sesuatu benda yang sering kita ulang dalam helain tadi. Itulah keutamaan kita. Boleh teruskan dengan menyoal kenapa itu yang kita mahu seperti kaedah pertama tadi.

Jika mahu lebih luas lagi, jangan hadkan skop kepada sehari. Tulis bagaimana rupa kehidupan yang kita impikan. Dalam menulis sama ada rutin harian yang kita angankan atau kehidupan idaman paling ideal bagi kita, jangan sesekali menulis apa yang kita tidak mahu. Tulis apa yang kita mahu sahaja.

Abaikan cara bagaimana ia boleh diperolehi. Fokus kepada apa yang ingin dicapai bukan bagaimana ia boleh dicapai.

Teknik Mengimbas Masa Lampau (FlashBack)

Dengan sekeping kertas (atau catatan digital) di tangan. Mulakan dengan ayat ini; Alhamdulillah, syukur, aku dapat … semasa … Isikan tempat kosong dengan kenangan dan ingatan yang menggembirakan dari masa lampau kita. Ingatan ini biarlah bermula dari yang paling lama kita mampu ingat. Mungkin di zaman tadika atau sebelumnya.

Teruskan satu persatu, sehingga masa sekarang. Apabila kita rasa sudah habis disenaraikan pengalaman dan perkara yang pernah menggembirakan kita ditulis, baca kembali. Lihat apa yang paling kerap membuatkan kita gembira. Mungkin disitu letaknya apa sebenarnya yang kita mahukan dalam hidup.

Setelah selesai, keesokannya, tuliskan pula apa yang kita syukuri untuk hari ini. Ulang setiap malam, lama kelamaan kita akan bertambah jelas tentang keinginan yang terpendam dalam diri kita. Setiap orang mentafsirkan kebahagiaan dengan perkara yang berlainan.

Dengan tiga cara ini, kita boleh mengenalpasti matlamat yang kita mahu capai dalam kehidupan sebenarnya.

Apa Perlu Dibuat Setelah Kita Mengenalpasti Impian Kita?

Sekarang masanya untuk kita menjadikan impian kita sebuah kenyataan. Impian jangan dikejar, takut hilang fokus. Perkara pertama yang kita perlu buat ialah meyakini impian itu boleh terlaksana. Kita bayangkan, kita tulis, kita katakan. Kita bercakap dan sebut selalu tentang impian kita ini.

Salah satu cara terbaik ialah dengan mempunyai Vision Board atau PApan Visi. Jadikan impian kita boleh diterjemahkan dalam berbentuk visual, supaya selalu dapat dilihat dan diingat. Bagi yang ingin tahu lebih lanjut tentang Vision Board boleh baca artikel saya yang lepas.

Kita kongsi impian ini dengan orang yang boleh memberikan sokongan moral kepada kita. Selalu perkatakan, bincangkan dan angan – angankan bersama mereka. Cuba dapatkan maklum balas mereka tentang impian kita. Orang ini boleh jadi isteri, ibu bapa, sahabat handai, atau mentor.

Kita cari orang yang telah berjaya mencapai apa yang kita idamkan. Kita kaji bagaimana mereka lakukan. Kita belajar melalui pengalaman mereka, hindari kesilapan mereka. Jadikan mereka sebagai benchmark kita. Jika mereka sudi, kita mohon pendapat dan nasihat dari mereka.

Yang paling penting, jangan berputus asa. Sentiasa ingat kepada apa yang kita usahakan dan dari mana kejayaan itu boleh datang. Kejayaan itu boleh dating hanya dengan satu sumber sahaja, tidak kira bagaimana usaha kita. Tidak ada istilah terlewat. Selagi kita bernafas selagi itu kita berpeluang untuk berjuang mencapai impian sebenar kehidupan kita.

Semoga impian kita, jadi realiti.

Baca juga: 15 Tips Menarik Perkara Dihajati Supaya Menjadi Kenyataan

Leave a Comment