free
hit counter

Kepandaian Emosi dan Cara Mudah Tarik Perasaan Gembira

Baru-baru ini saya ada menerima satu email dari seorang pakar motivasi tentang cara nak dapatkan kegembiraan. Saya pasti perkara ini bukanlah perkara baru. Malah ada yang tahu dan mungkin juga dah lupa teknik yang berkesan tersebut.

Teknik ini bukan susah sangat untuk amalkan. Semua orang pun boleh buat. Maksudnya semua orang boleh menikmati rasa gembira walaupun dipalit cabaran hidup yang gentir dan sangat sukar. Pada pandangan saya, biarkan rasa gembira untuk atasi permasalahan hidup.

rasa gembira

Hargai Hidup Kita Yang Pendek Di Dunia Ini

Hidup manusia bukan lama sangat. Yang paling lama pun sehingga 100 tahun saja. Itupun jarang-jarang ada orang yang sampai ke umur begini. Secara puratanya jangka hayat kita akan berakhir pada umur 60 tahun sehingga 80 tahun. Tengok masa tersangat suntuk untuk kita menikmati kehidupan dunia ini.

Oleh itu, tiada sebab untuk kita tidak berasa gembira walaupun sedetik cuma. Gembira boleh datang dan pergi. JIka selalu mempunyai rasa yang tidak gembira maka sedih akan mengambil tempat. Sebab itu pertahankan rasa gembira supaya rasa sedih tak boleh masuk line.

Untuk tarik perasaan gembira kita mesti berlatih mengawal minda dan juga emosi. Caranya monolog diri atau bercakap dengan minda. Beritahu minda kita nak bergembira. Sangat gembira walau apapun keadaan. Orang lain tidak berhak untuk merampas rasa gembira yang kita miliki.

Komunikasi Dengan Diri Sendiri

Berkomunikasi dengan diri bahawa kalian nak sangat gembira. Memang gembira sangat-sangat sehingga tidak sedar yang kalian masih ada cabaran hidup yang berat melanda diri. Itu boleh difikirkan kemudian. Ada ramai pihak yang akan membantu kita kesan dari mood gembira yang perolehi. Tak percaya maka boleh cuba.

Buat apa anda rasa sedih sedangkan rasa sedih belum mampu atasi sebarang cabaran hidup. Jadi lebih baik rasa gembira sementara menunggu masa yang sesuai untuk selesaikan sesuatu. Betul tak?

Terpulang kepada anda semua untuk mendapat perasaan gembira mengikut gerak hati masing-masing. Cara yang saya kongsikan dalam blog ini ialah teknik bercakap dengan diri sendiri iaitu monlog. Sewaktu monolog cuba hayati dengan menggambarkan diri dalam keadaan yang sangat gembira.

Ya. Sangat-sangat gembira sehingga mencetus perasaan hebat tersebut. Boleh dilatih jika belum berjaya.Boleh diusahakan jika belum ada istiqamah.

Kepandaian Emosi

Kepandaian emosi ataupun dalam Bahasa Inggeris adalah ‘Emotional Intelligence’ (EI). Penggunaan istilah ini telah dikesan beberapa puluh tahun yang lepas tetapi ia menjadi terkenal sejak lahirnya buku tulisan Daniel Goleman yang bertajuk ‘Emotional Intelligence’.

Ia telah melahirkan suatu industri yang besar, dan sejak daripada itu beberapa kajian yang lebih agresif dibuat terutamanya bagaimana kesan kepandaian ini terhadap kejayaan di tempat kerja.

Terdapat buku yang secara dramatik menyatakan bahawa kepandaian akademik yang kebiasaannya dikait dengan IQ hanya memberi sumbangan sebanyak 20% sahaja terhadap kejayaan dalam kehidupan, dan selebihnya sebanyak 80% datang daripada EI. Daripada beberapa kajian maka terhasillah term EQ iaitu ‘Emotional Quotient’, kawan kepada IQ iaitu ‘Intelligence Quotient’.

Bagaimana EQ sangat berkait rapat dengan kegembiraan seseorang dan mengapa individu yang mempunyai EQ tinggi lebih berjaya?

Individu yang mempunyai EQ tinggi, adalah lebih baik dalam komunikasi dan matlamatnya. Mereka lebih sensitif dan berkeyakinan.

Seperti yang diketahui, kerja berkumpulan merupakan elemen penting di tempat kerja. Hal ini seterusnya memberi kelebihan kepada individu yang mempunyai EQ yang tinggi kerana mempunyai tahap penguasaan komunikasi yang lebih baik.

Pemimpin yang mempunyai EQ tinggi mampu menghasilkan suasana yang membina, seterusnya meningkatkan komitmen pekerja.

Pemimpin yang mempunyai EQ tinggi mempunyai kebolehan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan ahli di dalam kumpulan, yang seterusnya mengoptimumkan sebaik mungkin dalam membawa kejayaan kumpulan.

EQ kebiasaannya berkait tentang bagaimana seseorang itu berurusan, menangani stress dan tekanan.

Pemimpin yang mempunyai EQ yang tinggi dapat mengenal pasti keperluan dan emosi pengikutnya dengan lebih baik. Mereka dapat memberi sokongan dari sudut emosi yang lebih baik.

Selain itu, seseorang yang mempunyai EQ tinggi lebih positif dan selalu rasa gembira berbanding dengan yang kurang.

Fikiran Akhir

Selagi kita sentiasa mengingati Allah dan melaksanakan tuntutanNYA, in shaa Allah.. hati kita akan sentiasa beroleh kegembiraan walaupun berhadapan dengan saat-saat yang sukar. Emosi dan minda memang perlu sentiasa dilatihkan. Mudah-mudahan sentiasa dapat mengawal untuk kehidupan yang sebaiknya.

Untuk berasa gembira adalah tanggungjawab sendiri dan bukan tanggungjawab orang lain. Tidak kira apa orang lain buat yang mungkin tidak menggembirakan hati kita, jika kita bersyukur dan sentiasa beritahu diri kita bahawa kita gembira dan bersyukur, kita akan gembira sentiasa.

Di samping itu, kita juga mesti sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada. Kadang-kadang, bila kita mula membandingkan nasib kita dengan orang atau kawan-kawan yang lebih baik, boleh stress jadinya.

Apa yang perlu kita faham adalah hidup kita adalah hidup kita. Kitalah yang menentukannya dengan izin Allah.

Baca juga:

Leave a Comment